Isnin, 8 April 2019 | 8:54pm

Seacera terus cari rakan kongsi bagi bangunkan tanah di Semenyih

KUALA LUMPUR: Pengeluar jubin tempatan, Seacera Group Bhd akan terus mencari rakan kongsi untuk membangunkan tanahnya di Semenyih walaupun terdapat ketidakpastian berhubung komposisi Lembaga Pengarahnya susulan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan datang pada 16 April.

Keputusan untuk mengadakan EGM terhasil selepas Pengerusi Eksekutif Tiger Synergy Bhd, Datuk Tan Wei Lian, yang memegang kepentingan sebanyak 12.23 peratus, menggesa kepada penyingkiran dua pengarah bebas bukan eksekutif yang sedia ada daripada barisan semasa iaitu lapan pengarah dan pelantikan empat pengarah baharu.

Pengarah Urusan Kumpulan, Zulkarnin Ariffin, berkata syarikat sedang mengkaji cadangan daripada pemaju terkemuka untuk membangunkan tanah seluas 202.7 hektar.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak (boleh wujud) risiko bertentangan (dalam keputusan). Terdapat banyak kemungkinan, apabila terdapat perubahan dalam Lembaga Pengarah, hala tuju dan strategi syarikat akan berubah.

“Ini semua kemungkinan dan akhirnya, syarikat akan mematuhi hala tuju yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Di samping itu, EGM terbabit bertujuan mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi terbitan 149.09 juta saham baharu pada 21 sen, serta tawaran persendirian sehingga 126.34 juta saham daripada modal saham terbitan sedia adanya kepada pelabur pihak ketiga, yang belum dikenal pasti.

Seacera merancang menggunakan hasil tersebut untuk menyelesaikan hutangnya sebanyak RM31.13 juta kepada 28 pemiutang.

Menjawab soalan mengenai rasional cadangan perubahan itu, Zulkarnin menjelaskan ia boleh berkaitan dengan “permata utama” Seacera, tanah di Semenyih.

“Perniagaan jubin adalah perniagaan biasa tetapi permata utama sudah pasti tanah. Saya tidak tahu apa hasrat mereka.

“Saya percaya pelabur mahu wang dan keuntungan, dan saya percaya ia mengenai tanah,” katanya.

Ditanya mengenai pelan pada masa depan, Zulkarnin berkata Seacera turut merancang untuk menjual tanah perindustriannya dan bangunan di Melaka, Pulau Pinang dan Kamunting, Perak, apabila jualan boleh menjana sehingga RM60 juta.

“Ini adalah antara pelan untuk mendapatkan tunai bagi pengembangan pada masa depan,” katanya.

Mengenai prestasi industri jubin, Zulkarnin berkata dalam mengurangkan persekitaran semasa yang mencabar dalam segmen pembinaan dan hartanah, Seacera meningkatkan penawaran produknya dengan merangkumi bahan binaan seperti keluli, batu bata dan simen sejak awal tahun ini.

“Ini adalah pelan kami untuk meningkatkan perolehan kami berikutan kami tidak mahu mengehadkan diri kami hanya kepada jubin,” katanya.

Seacera mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM43.13 juta pada tahun kewangan 2018 berbanding keuntungan bersih RM8.92 juta pada tahun kewangan 2017, manakala perolehan merosot 42.4 peratus kepada RM23.31 juta daripada RM40.47 juta sebelum ini.

-- BERNAMA

Berita Harian X