Jumaat, 5 April 2019 | 7:17pm
Datuk Seri Amrin Awaluddin. - Foto NSTP

Amrin terajui Boustead

KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd (BHB) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin sebagai Pengarah Urusan baharunya berkuatkuasa 6 Mei 2019.

BHB dalam kenyataannya berkata, Amrin yang memiliki pengalaman luas selama 30 tahun di arena korporat memulakan kerjayanya dalam industri perkhidmatan kewangan dan memegang beberapa pelantikan penting.

Amrin memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan syarikat-syarikat terkemuka Malaysia yang antaranya termasuk Renong Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd, Sistem Televisyen Malaysia Bhd, Media Prima Bhd dan terbaru, Sime Darby Property Bhd.

Beliau kini adalah Pengarah Taliworks Corporation Bhd dan CIMB Bank Bhd.

“Amrin memegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Acadia University, Kanada dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of Hull, United Kingdom (UK).

“Beliau adalah ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA),” katanya.

Mengulas pelantikan itu, Pengerusi Boustead Holdings, Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat, berkata pihaknya dengan sukacitanya mengalu-alukan Amrin sebagai Pengarah Urusan baharu Kumpulan Boustead.

“Kami yakin pengalamannya dan rekod prestasi terbukti akan membantu memajukan Kumpulan ke hadapan. Kepakarannya yang luas dan ketajaman pemikiran perniagaannya tentunya sangat baik untuk pembangunan Kumpulan, terutama mengambil kira landskap yang semakin kompetitif,” katanya.

Sejak penubuhannya sebagai entiti perdagangan sederhana lebih 180 tahun yang lalu, Kumpulan Boustead telah berkembang pesat merangkumi lebih 90 anak syarikat, syarikat bersekutu dan usaha sama, dan mempunyai kepentingan besar dalam pelbagai sektor ekonomi Malaysia.

Operasi Kumpulan Boustead memfokus pada enam bidang utama iaitu perladangan, industri berat, harta, kewangan & pelaburan, perdagangan & perindustrian dan farmaseutikal.

Setakat 31 Disember 2018, modal berbayar Boustead Holdings berjumlah RM2.7 bilion, manakala dana pemegang sahamnya berjumlah RM5.4 bilion. Permodalan pasaran kini berjumlah kira-kira RM3 bilion.

Berita Harian X