Selasa, 2 April 2019 | 11:19am

Saham Alam Maritim naik susulan projek RM241 juta

KUALA LUMPUR: Saham Alam Maritim Resources Bhd mencatat kenaikan pada awal dagangan hari ini selepas pengendali kapal itu mengumumkan kejayaan memperoleh kontrak baharu bernilai RM241 juta.

Kontrak itu membabitkan penyediaan aspek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan praoperasi sistem paip untuk Pembangunan Gas Tidak Bersekutu Tembikai oleh Vestigo Petroleum Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan semalam, Alam Maritim menyatakan projek itu dijadual siap pada suku keempat tahun ini.

Ia turut menjangkakan kontrak itu menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pada 10 pagi ini, saham Alam Maritim naik 2.5 sen atau 21.74 peratus kepada 14 sen dengan 44.39 juta saham bertukar tangan. - BERNAMA

246 dibaca
Berita Harian X