Ahad, 31 March 2019 | 3:07pm

BigPay patuh Syariah tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Aplikasi pengurusan kewangan BigPay akan dijadikan patuh Syariah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

“Kami mahu perkhidmatan kewangan yang inklusif dan sebenarnya seorang daripada lembaga pengarah kami mencadangkan supaya ia (BigPay) dijadikan patuh Syariah.

“Saya berpandangan ia sangat masuk akal... kami sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran ‘Terbang Tinggi’, memoir beliau dalam versi Bahasa Melayu.

Majlis pelancaran memoir itu diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga 7 April ini.

Ditanya bilakah orang awam boleh menjangkakan perkhidmatan BigPay patuh Syariah itu, beliau berkata pihaknya mahukan ia dilaksanakan secepat mungkin.

“Ia di luar kawalan saya. Pihak kawal selia perlu meluluskannya terlebih dulu. Kalau boleh, saya mahukannya pada hujung tahun ini,” katanya.

Airasia memperkenalkan aplikasi pengurusan kewangan Bigpay tahun lalu bertujuan menyediakan perkhidmatan kewangan kos rendah, adil dan telus kepada semua golongan masyarakat.

Berhubung pelancaran memoir beliau dalam versi Bahasa Melayu, susulan kejayaan memoir berbahasa Inggeris sebelum ini, Tony berkata ia bagi meraih jangkauan yang lebih besar, terutamanya dalam segmen mereka yang selesa dalam Bahasa Melayu.

Menyentuh inti pati memoir itu, beliau berkata adalah tidak salah untuk kita mempunyai impian dan janganlah takut kepada kegagalan.

“Buku saya ini bukan saja mengisahkan kejayaan, terdapat banyak (kisah) kegagalan didalamnya juga... tetapi saya lakukan apa yang saya mahu lakukan, tak kira sama ada saya berjaya atau gagal.

“Anda hidup sekali, pastikan anda gunanya sebaik mungkin... anda tidak akan tahu bila hari terakhir anda,” demikian nasihat Tony.

Diminta pandangan berhubung Malaysia Airlines, beliau berkata beliau lebih gemar Malaysia Airlines kekal sebagai syarikat penerbangan premier dan AirAsia sebagai syarikat penerbangan kos rendah.

Katanya, Malaysia memerlukan lebih banyak persaingan dan beliau pasti dengan pengurusan dan tumpuan yang betul, ia (pemulihan Malaysia Airlines) boleh dilaksanakan dengan berjaya.

“Malaysia Airlines adalah satu jenama yang baik. Di AirAsia, separuh daripada kakitangannya adalah dari Malaysia Airlines. Ramai orang yang bagus-bagus di sana,” katanya.

Berita Harian X