Selasa, 19 March 2019 | 6:45pm
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, semasa pada sesi panel Invest Malaysia 2019 yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia dan Maybank di Shangri-La Hotel, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril

Malaysia Airlines kekal relevan - Khazanah

KUALA LUMPUR: Pelaburan Khazanah Nasional Bhd dalam Malaysia Airlines Bhd kekal relevan walaupun syarikat penerbangan nasional itu masih berdepan kerugian.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata bagi menilai sumbangan syarikat penerbangan kepada ekonomi negara, ia perlu dilihat melangkaui prestasi kewangannya.

Beliau berkata, terdapat manfaat ekonomi sebenar yang besar dijana syarikat penerbangan kepada ekonomi Malaysia seperti pelancongan, urus niaga perniagaan dan industri lain.

Justeru, katanya, adalah penting untuk kerajaan memahami kos bagi membolehkan Malaysia Airlines kekal beroperasi berbanding kerugian besar terhadap ekonomi jika ia berhenti beroperasi.

"Ia adalah industri yang mana jika anda melihat secara keseluruhan rantaian, banyak industri lain boleh menjana untung berbanding syarikat penerbangan itu sendiri.

"Kita perlu mencari cara baharu untuk syarikat penerbangan itu sendiri mencapai kedudukan yang lebih cekap," katanya bagi mengulas mengenai masa depan Malaysia Airlines pada sesi panel Invest Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Shahril Ridza berkata, Khazanah bercadang menggunakan baki dana RM6 bilion yang disuntiknya ketika mengambil alih syarikat penerbangan itu pada 2014 bagi memulihkannya.

“Terdapat lagi baki dana itu. Ia akan disuntik tahun ini atau kemudiannya," katanya.

Pada pengumuman prestasi kewangan Khazanah baru-baru ini, Shahril Ridza berkata susut nilai yang dicatatkan sayap pelaburan kerajaan berjumlah RM7.3 bilion yang direkodkan tahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan oleh Malaysia Airlines.

Beliau berkata, prestasi kurang memberangsangkan itu adalah berikutan kos untuk mengekalkan kelangsungan operasi Malaysia Airlines dan limpahannya kepada cukai daripada industri pelancongan, ketersambungan, perniagaan dan aktiviti ekonomi.

Bagaimanapun, jelasnya ia bukan bermakna Malaysia Airlines tidak beroperasi dengan baik, tetapi disebabkan industri penerbangan yang tidak memberangsangkan.

197 dibaca
Berita Harian X