Isnin, 18 March 2019 | 9:05pm
Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Md Radzi (dua dari kanan) bersama Setiausaha Agung Persatuan Industri Animasi dan Permainan Beijing (BAGIA) Liu Chun Gang (tiga, kiri) bertukar dokumen sambil diperhatikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri (tiga dari kanan) dan Pengarah Bahagian Personel World Trade Center Beijing, Huang Dayong (dua, kiri) pada Majlis Menandatangani Surat Perjanjian Persefahaman antara Les Copaque Production Sdn Bhd dengan Persatuan Animasi dan Permainan Beijing di Seksyen 13 Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

Les' Copaque tandatangani MoU dengan BAGIA

SHAH ALAM: Les' Copaque Production (LCP) Sdn Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Beijing Animation and Gaming Industry Association (BAGIA) bagi mewujudkan kerjasama berkaitan industri animasi dan permainan video.

Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata menerusi MOU itu, ia turut membuka peluang kepada produk Les' Copaque menembusi pasaran negara China.

“Kita melihat kerjasama ini penting dan sangat bermakna kepada LCP kerana ini akan membuka laluan untuk kami menayangkan filem 'Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal' serta siri Upin dan Ipin di China.

"Kita percaya kejayaan usaha sama ini juga akan membuka satu lembaran baharu kepada industri kreatif Malaysia, yang mana ia diharapkan akan menjadi ikutan penggiat industri tempatan untuk turut sama berkolaborasi dengan persatuan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis MOU itu di sini.

Dalam majlis itu, LCP diwakili Burhanuddin manakala BAGIA diwakili Setiausaha Agungnya Liu Chun Gang, dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Beliau berkata BAGIA merupakan pertubuhan syarikat animasi dan permainan video yang beroperasi di Beijing serta peneraju industri animasi dan permainan video di China.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata kerjasama itu juga merupakan langkah positif dalam mewujudkan perkongsian berkaitan kepakaran teknologi dalam penghasilan filem dan siri animasi antara dua pihak tersebut.

“Ini merupakan kerjasama kali pertama antara dua pihak...kita berharap kerjasama ini akan berterusan supaya kita mampu membangunkan lagi industri animasi untuk manfaat penggiat industri kreatif di Malaysia dan China,” katanya. - BERNAMA

446 dibaca
Berita Harian X