Jumaat, 15 March 2019 | 8:51pm

Lebih ramai rakyat Malaysia beli-belah dalam talian - Shopee

KUALA LUMPUR: Shopee Malaysia muncul sebagai platform e-dagang nombor satu negara dan antara 10 laman paling kerap dilayari, demikian menurut firma analisis perancangan, urus niaga dan penilaian media merentasi platform Comscore.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata dengan hampir separuh penduduk negara ini ada dalam pangkalan datanya, Shopee mempunyai akses kepada Data Raya yang membolehkannya memahami tabiat beli-belah rakyat Malaysia.

Menurut pangkalan data itu, pesanan paling banyak diterima dari Selangor dan Kuala Lumpur sementara Perlis, Kedah, Pulau Pinang merekodkan peningkatan aktiviti beli-belah dalam talian dengan satu pertiga pembelian di negeri terbabit adalah dalam kategori Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG) termasuk produk penjagaan diri.

Kelantan, Pahang dan Terengganu pula mencatatkan pertumbuhan tiga angka pengguna baharu dengan kategori Alat Mainan, Kanak-kanak dan Bayi merekodkan pembelian tertinggi.

Bagi wilayah selatan, bilangan pengguna Shopee juga meningkat dengan sebahagian besar adalah lelaki dan kategori Pakaian Lelaki antara kategori terlaris berbanding negeri-negeri lain.

Berikutan program penghantaran percuma ke seluruh negara, aktiviti beli-belah dalam talian di Sarawak, Sabah dan Labuan juga mencatatkan peningkatan dengan kategori ‘Mudah Alih dan Aksesori’ menjadi tumpuan.

Menurut Ho, kempen Shopee dibuat dengan mengambil kira aspek yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan pasaran termasuk kempen 27.3 Shopee Mega Sale yang akan diadakan dari 21 hingga 27 Mac ini.

Kempen itu yang menawarkan penghantaran percuma dengan pembelian minimum RM27 turut menyediakan permainan ‘Tikam” RM1 serta Shopee Quiz yang menawarkan hadiah bernilai RM1 juta. – BERNAMA

139 dibaca
Berita Harian X