Rabu, 13 March 2019 | 12:52pm
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran PETRONAS, Datuk Md Arif Mahmood. - NSTP/Salhani Ibrahim

PETRONAS mula keluarkan produk dari Pengerang bulan depan

HOUSTON: PETRONAS dijangka menawarkan produk minyak dari kompleks penapisan petrokimia baharunya di Pengerang, April ini apabila projek berkenaan memulakan pengeluaran komersial sepenuhnya pada Oktober.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran PETRONAS, Datuk Md Arif Mahmood, dipetik oleh Reuters sebagai berkata, produk awal tidak akan memenuhi spesifikasi komersial disebabkan masih di peringkat percubaan.

“Kami melihat projek berkenaan penting bagi melengkapkan pertumbuhan di rantau ini,” kata di luar persidangan tenaga CERAWeek di sini.

Beliau berkata, Kompleks Bersepadu Pengerang bernilai AS$27 bilion disiapkan dalam tempoh lima tahun.

PETRONAS dan Saudi Aramco secara bersama memiliki kompleks penapisan yang mempunyai kapasiti 300,000 tong sehari (bpd).

Kapasiti penapisan PETRONAS mampu mencapai 700,000 bpd, jika termasuk kepentingan ekuitinya di kompleks Pengerang itu, manakala pengeluaran petrokimia akan meningkat kepada 14.6 juta tan setahun (tpy) 12.7 juta tpy ketika ini.

Kompleks petrokimia itu dijangka bermula menjelang akhir bulan ini.

Md Arif berkata, pengeluaran bahan api dari kilang penapisan baharu itu akan mengimbangi bekalan dan permintaan petrol di Malaysia, selain mengeksport diesel.

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat juga bersedia melakukan lebih banyak ‘pengadunan’ untuk memenuhi permintaan minyak rendah sulfur dari kapal pengangkut apabila peraturan bahan api baharu dilaksanakan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), bermula 2020.

“Bagi IMO, kami akan melakukan lebih banyak usaha selari dengan pertumbuhan industri perkapalan. Kami juga berusaha menggalakkan orang ramai untuk bertukar kepada gas asli cecair (LNG).

“Kami menjangkakan industri berkenaan mula mencari bahan api rendah sulfur bermula Oktober,” katanya.

Beliau berkata, PETRONAS akan terus menghasilkan bahan api sulfur tinggi di penapisan Engen, Afrika Selatan.

“Kami akan menemui permintaan di sebahagian pasaran dan akan membuat adunan,” katanya sambil menambah PETRONAS juga akan meneroka pengeluaran minyak mentahnya di Sudah Selatan dan Chad untuk diadun dengan bahan api. - Reuters

Berita Harian X