Khamis, 7 March 2019 | 4:03pm

Vanke Group lancar Vanke Experiential Hall

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah terkemuka China, Vanke Group melancarkan galeri pamerannya di negara ini, dikenali sebagai Vanke Experiential Hall (VEH) yang terletak di Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini.

VEH memaparkan perjalanan Kumpulan berkenaan dalam industri pembangunan bandar dan kawasan pedalaman di China sejak ia ditubuhkan pada 1984 di Shenzhen, China.

Pengarah Urusan Vanke Malaysia, Lang Cong, berkata galeri pameran itu adalah satu inisatif yang diambil pihaknya untuk memperkenalkan pencapaian Kumpulan berkenaan kepada penduduk di negara ini.

Katanya, orang ramai juga berpeluang melihat paparan awal lokasi projek pertama Vanke Group di negara ini menerusi model skala interaktif yang ada di VEH.

“Untuk projek pertama kami di negara ini, kami menjalin kerjasama dengan firma arkitek yang memenangi banyak anugerah iaitu UNStudio dan peneraju firma tempatan, Veritas.

“Sejak penubuhan Vanke Malaysia pada Jun 2017, kami mengekalkan komitmen dengan memberikan sokongan dan menjadi sebahagian daripada komuniti tempatan.

“Ia dibuktikan menerusi pengambilan lebih 90 peratus daripada kakitangan kami yang terdiri daripada tenaga kerja tempatan,” katanya pada majlis pelancaran VEH di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. Turut hadir ialah Naib Presiden Kanan Vanke Group, Wang Haiwu.

Mengulas lanjut, Cong berkata VEH dibuka kepada orang ramai setiap hari dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan kakitangannya turut bersedia untuk memberikan sebarang bantuan.

“Kami berharap dapat memberikan sumbangan dalam jangka masa panjang terhadap pembangunan di negara ini dan membantu membina ruang tempat tinggal yang berkualiti tinggi yang akan memberi nilai tambah kepada gaya hidup penduduk di negara ini,” katanya.

Selain Kuala Lumpur, Vanke Group juga mempunyai operasi di beberapa bandar utama lain seperti Hong Kong, Singapura, London, Moscow, New York, San Francisco dan Seattle.

Berita Harian X