Selasa, 5 March 2019 | 2:36pm

Brahim's sasar status PN17 berakhir dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Brahim's Holdings Bhd menyasarkan untuk keluar daripada status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) secepat mungkin disokong dengan pelan kawal selia yang akan dikemukakan kepada Bursa Malaysia.

Pengerusi Eksekutif Brahim's, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, syarikat itu akan memulakan perbincangan strategik dengan rakan kongsinya untuk mengkaji semula modal dan struktur perniagaannya sebagai memenuhi syarat penyenaraian.

Katanya, Brahim's akan turut menyakinkan pemegang saham, pembekal dan rakan kongsinya bahawa operasi perniagaan syarikat tetap berjalan seperti biasa.

“Kumpulan akan terus memberi tumpuan terhadap inisiatif utama bagi memacu perkembangan operasi dan produktiviti berdasarkan semakan semula pihak pengurusan serta ahli Lembaga Pengarah.

“Brahim's juga akan mendapatkan rundingan dengan Penasihat Utama bagi mengemukakan pelan kawal selia dalam tempoh tiga bulan dan akan mengumumkannya butiran selanjutnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, Brahim's mempunyai tempoh masa 12 bulan daripada sekarang untuk menyerahkan pelan kawal selia kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan melaksanakannya dalam jangka masa yang ditetapkan oleh SC atau Bursa Malaysia.

PN17 merujuk kepada syarikat yang sedang mengalami masalah kewangan dan syarikat terbabit tidak memenuhi syarat minimum dari segi modal atau saham yang telah ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Syarikat yang telah diumumkan berstatus PN17 perlu mengemukakan pelan perancangan penstrukturan semula syarikat kepada Bursa Malaysia.

Minggu lalu, BHB disenaraikan dalam status PN17 berikutan ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah paras 25 peratus.

Sementara itu, Ibrahim berkata Brahim’s berharap untuk menjadi syarikat halal utama di peringkat global dan menyasarkan pencapaian lebih baik bagi tahun kewangan ini.

“Brahim’s berada dalam perniagaan yang tepat kerana industri halal mempunyai nilai potensi tinggi,” katanya.

227 dibaca
Berita Harian X