Selasa, 5 March 2019 | 1:45pm
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (tengah); Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong (kiri) dan Ketua Pembayaran dan Perbankan Maya, Kalyani Nair memperkenalkan perkhidmatan Maybank Anytime, Everyone (MAE). Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq.

MAE perkaya pengalaman digital pelanggan Maybank

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

zaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Maybank memperkukuhkan komitmennya dalam menawarkan pengalaman digital pelanggan dengan memperkenalkan Maybank Anytime, Everyone (MAE).

MAE adalah produk terkini kumpulan perbankan itu bagi membolehkan pelanggan membuka akaun menerusi telefon mudah alih.

Dengan MAE, pengguna kini boleh memulakan proses perbankan dalam talian menerusi aplikasi Maybank App dalam masa kurang lima minit dan menikmati perkhidmatan penuh dompet elektronik (e-dompet).

MAE dilancarkan oleh Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong serta Ketua Pembayaran dan Perbankan Maya, Kalyani Nair.

"MAE melambangkan usaha berterusan pihak kami dalam mewujudkan pengalaman digital dalam semua segmen pelanggan menerusi platform digital.

"Selepas melancarkan Maybank2u (M2u) pada 2000, hari ini kami memperkenalkan perkhidmatan pertama seumpamanya di pasaran sejajar dengan komitmen menjadikan 'Bank Digital Pilihan' di rantau ini," kata Abdul Farid.

MAE bukan hanya memudahkan pelanggan membuka akaun, malah membolehkan pengguna membuat transaksi termasuk pemindahan wang dan membuat pembayaran.

127 dibaca
Berita Harian X