Isnin, 4 March 2019 | 6:43pm

PERODUA catat 7.3 peratus peningkatan jualan

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 7.3 peratus kepada 37,400 unit dalam tempoh dua bulan pertama 2019 berbanding 34,800 unit tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata lonjakan jualannya itu disebabkan permintaan yang tinggi untuk hampir kesemua modelnya.

Beliau berkata, peningkatan prestasi jualan adalah hasil daripada usaha kumpulan menambahbaik masa penghantaran model baharu kepada pelanggan.

Dua bulan pertama tahun ini katanya, PERODUA menjual 15,000 unit Myvi, 10,100 unit Axia, 5,900 unit Bezza, 3,600 unit Aruz dan 2,700 unit Alza.

Manakala dari segi pengeluaran pula katantya, 36,500 kenderaan telah dikeluarkan, hampir 6.2 peratus lebih banyak daripada 34,375 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Sementara menunggu laporan bahagian pasaran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami menganggarkan bahawa penguasaan pasaran kami setakat tahun ini adalah 41 peratus.

“Sementara itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk terbaharu kami, Perodua Aruz, terus meraih pesanan yang memberangsangkan dengan lebih daripada 13,000 tempahan diterima sejak awal Januari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu X dan AV. Pada masa ini, kira-kira 85 peratus daripada tempahan adalah untuk AV.

Zahari berkata, pihaknya juga menyelaraskan operasi pengeluaran dalam usaha mengurangkan masa menunggu untuk Aruz dan ia akan diteruskan juga pada Mac.

PERODUA kini mengadakan jerayawara (roadshow) Aruz On Tour di seluruh negara, bermula pada 13 Februari di Selangor dan seterusnya ke Johor Bahru, Kota Bharu dan berakhir di Kuching.

157 dibaca
Berita Harian X