Ahad, 3 March 2019 | 10:43am
TERESA Kok (kiri) merasmikan The Valley Bentong di The Valley Bentong, mukim Sabai, Karak.- Foto Eizairi Shamsudin

Bina Puri lancar projek komuniti pertanian The Valley

BENTONG: Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri) melancarkan projek komuniti pertanian yang dikenali sebagai The Valley dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM152.7 juta.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Matthew Tee, berkata projek seluas 647.5 hektar dibahagikan kepada empat zon pembangunan dengan 243 hektar disediakan untuk pembangunan rumah ladang dinamakan sebagai The Kerau Fasa 1 dan Fasa 2.

Katanya, 91 hektar tanah itu adalah untuk pembangunan ladang durian oleh Karak Spring Sdn Bhd, manakala 175 hektar untuk tanah tani pegangan pajak dan baki 137 hektar untuk pembangunan pada masa hadapan.

“Kami membeli tanah ini pada 2013 dan pelancaran The Kerau Fasa 1 diadakan pada Disember 2016 dengan tawaran 158 lot. Kami berjaya mencapai jualan 70 peratus dalam tempoh enam bulan.

“Berikutan sambutan yang tinggi, kami membuka Fasa 2 merangkumi 138 lot dengan harga jualan RM5.88 hingga RM8.09 kaki persegi. Kini status jualan The Kerau Fasa 1 sudah mencapai 91 peratus manakala 32 peratus untuk Fasa 2.

“Selain itu, untuk projek tanaman ‘cash crops’ dan ladang durian, kami sudah menanam 2,600 pokok untuk Fasa 1 membabitkan 40 hektar, manakala 2,500 pokok sudah ditanam untuk Fasa 2. Hasil pertama dijangka dalam tempoh lima hingga enam tahun,” katanya pada majlis Pelancaran The Valley di sini, semalam.

Majlis itu dilancarkan oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan turut dihadiri Pengerusi Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri), Tan Sri Ir Wong Foon Meng dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack.

Mengulas lanjut, katanya, kemudahan yang sedia ada pada projek itu merangkumi rumah kelab, perkhidmatan dan infrastruktur utama seperti jalan dan longkang, bekalan air, elektrik dan perkhidmatan keselamatan 24 jam.

“The Valley disasar untuk mewujudkan komuniti pertanian untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar terhadap rumah ladang.

“Pembangunan ini membuka peluang perniagaan baharu perniagaan terutama durian Musang King untuk pasaran tempatan dan luar.

“Kami percaya, The Valley akan memberi inspirasi kepada pemaju hartanah lain untuk meningkatkan komuniti pertanian, sekali gus menyumbang kepada aktiviti hiliran pertanian,” katanya.

354 dibaca
Berita Harian X