Khamis, 21 Februari 2019 | 9:58pm

Untung bersih Pharmaniaga merosot kepada RM42.47 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Pharmaniaga Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 merosot kepada RM42.47 juta daripada RM53.82 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan meningkat kepada RM2.38 bilion daripada RM2.32 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata peningkatan hasil dirangsang oleh langkah kawalan kos yang sedang dilaksanakan, serta pertumbuhan berterusan dalam konsesi dan perniagaan sektor swasta dan pada masa yang sama disokong oleh aktiviti pemasaran digital bagi produk penjagaan kesihatan pengguna.

Keuntungan bersih yang lebih rendah itu disebabkan oleh pampasan sekali bayar berkaitan dengan bekas syarikat usaha sama di China yang dimasukkan dalam keputusan FY17, katanya.

Pharmaniaga berkata kutipan lebih perlahan daripada hospital kerajaan dalam operasi dalam negara dan juga di Indonesia oleh kumpulan telah mendorong kepada peningkatan kos pembiayaan dan seterusnya menjejaskan kadar keuntungan bagi tahun itu.

Syarikat itu berkata, bahagian pembuatan turut mencatatkan penurunan keuntungan iaitu RM61 juta berbanding RM75 juta pada tahun sebelumnya berikutan pengurangan sumbangan daripada permintaan kerajaan bagi produknya, tetapi bahagian itu akan terus melaksanakan langkah pengoptimuman kos untuk memastikan kemampanan pendapatan.

Pengarah Urusan, Datuk Farshila Emran, berkata Pharmaniaga mencatatkan keputusan memuaskan disebalik berkongsi cabaran yang sama pada 2018.

“Melangkah ke hadapan, kumpulan akan menumpukan usaha untuk meningkatkan portfolio produknya dan menerokai peluang baharu. Khususnya, operasi di Indonesia akan menjadi tumpuan utama bagi pertumbuhan dengan menyumbang secara positif kepada kumpulan.

“Untuk memacu prestasi, kami akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan melaksanakan langkah kawalan kos, untuk operasi dalam negara dan juga di Indonesia.

“Dengan perancangan ini bakal dilaksanakan dan berdasarkan peningkatan peruntukan bagi sektor penjagaan kesihatan dalam Bajet 2019 kerajaan, kami kekal yakin dengan prospek yang ada bagi kumpulan,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X