Isnin, 18 Februari 2019 | 6:23pm
Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Datuk Zaiton Mohd Hassan.

Bank Pembangunan lantik Pengerusi baharu

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) melantik Datuk Zaiton Mohd Hassan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas berkuat-kuasa hari ini, untuk tempoh dua tahun selepas mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang bersara pada November 2018, sekali gus menjadikan beliau sebagai Pengerusi ke-11 BPMB sejak penubuhannya 45 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, BPMB berkata, Zaiton mempunyai latar belakang yang kukuh dalam bidang perbankan dan perakaunan serta pengalaman luas dalam tadbir urus, risiko dan audit meliputi sektor swasta dan institusi awam.

“Pelantikan beliau akan mempertingkatkan standard tadbir urus korporat bank serta membantu BPMB mencapai potensi penuh sebagai institusi pembangunan kewangan,” katanya.

Sebelum ini, beliau dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa Tadbir Urus dan Audit kumpulan Sime Darby Bhd dan kini Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus dan Audit Sime Darby Plantation Bhd.

Pada Julai tahun lalu, beliau dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Tabung Haji dan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Risiko, Audit dan Tadbir Urusnya.

Selain itu, beliau turut menubuhkan Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) pada 1996 dan memegang jawatan Presiden dan Pengarah Eksekutif sehingga 2004.

Zaiton adalah Ahli Majlis Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), United Kingdom (UK); ahli Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC), ahli jawatankuasa Akauntan Profesional dalam Perniagaan (PAIB), ahli Institut Akauntan Malaysia dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.

Berita Harian X