Khamis, 14 Februari 2019 | 8:24am

Scomi dituntut bayar hutang

KUALA LUMPUR: Scomi Group Bhd berkata ia menerima notis tuntutan sebanyak RM113.96 juta daripada Malayan Banking Bhd selepas unit kereta api milik penuhnya gagal membayar RM201.9 juta kepada bank itu.

"Scomi Rail Bhd dan Scomi Group sedang dalam proses rundingan penyelesaian dengan Maybank," katanya dalam satu kenyataan yang difailkan di Bursa Malaysia.

Syarikat itu berkata, anak syarikat milik penuh Scomi Rail, pada 8 Februari menerima notis tuntutan bertarikh 25 Januari daripada Maybank bagi jumlah RM201.9 juta.

Ia adalah kemudahan bank yang diberikan oleh Maybank kepada Scomi Rail.

Pada hari sama, Scomi Group juga menerima notis tuntutan daripada Maybank, bertarikh 31 Januari bagi jumlah RM113.96 juta. Ini adalah selepas Scomi Rail gagal membayar balik hutangnya.

Kumpulan Scomi memberi amaran bahawa Maybank kini mempunyai hak untuk melupuskan saham dalam salah satu anak syarikat kumpulan itu sekiranya jumlah yang diminta tidak dibayar.

553 dibaca
Berita Harian X