Isnin, 11 Februari 2019 | 8:38pm

MAHB catat peningkatan pergerakan penumpang

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan 11.1 juta pergerakan penumpang pada Januari 2019, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (SGIA) di Istanbul, Turki, peningkatan 3.1 peratus berbanding tempoh yang sama 2018.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, sektor antarabangsa merekodkan kenaikan 2.5 peratus kepada 5.4 juta pergerakan penumpang pada Januari 2019 manakala sektor domestik meningkat 3.6 peratus dengan 5.7 juta pergerakan penumpang.

“Berasaskan tempoh 12 bulan, rangkaian lapangan terbang MAHB keseluruhan mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus, merekodkan 133.5 juta pergerakan penumpang, jumlah tertinggi setakat ini,” menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

MAHB berkata pergerakan penumpang di lapangan terbang di Malaysia meningkat 3.2 peratus pada Januari 2019 dengan mencatatkan 8.4 juta penumpang, manakala pergerakan penumpang domestik dan antarabangsa masing-masing berkembang 7.1 peratus dan 0.004 peratus kepada 3.9 juta dan 4.4 juta penumpang.

“SGIA Istanbul merekodkan 2.8 juta pergerakan penumpang, pertumbuhan 2.6 peratus pada Januari 2019. Pergerakan penumpang antarabangsa berkembang 15.4 peratus dengan 1.0 juta penumpang manakala pergerakan penumpang domestik susut 3.2 peratus dengan 1.8 juta penumpang,” menurut MAHB.

Sementara itu, MAHB berkata pergerakan pesawat keseluruhan susut sebanyak 0.5 peratus pada Januari manakala pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik masing-masing turun 0.7 dan 0.3 peratus, berbanding angka yang dicatatkan pada Januari 2018.

-BERNAMA

44 dibaca
Berita Harian X