Isnin, 11 Februari 2019 | 8:00pm

E&O sasar RM250 juta daripada tawaran saham, terbitan hak

KUALA LUMPUR: Eastern & Oriental Bhd (E&O) menyasar mengumpul hasil kasar berjumlah antara RM250 juta dan RM550.3 juta menerusi tawaran saham persendirian saham biasa baharu dan terbitan hak boleh lepas dengan waran.

Pemaju hartanah itu berkata, hasil berkenaan dijangka digunakan untuk membayar semula pinjaman, pembangunan hartanah dan/atau penambakan, modal kerja am dan anggaran perbelanjaan bagi cadangan pengumpulan dana terbabit.

Pada 30 September 2018, kumpulan itu memiliki pinjaman berjumlah RM1.48 bilion dan selepas pembayaran semula sebahagian pinjaman, kumpulan dijangka menikmati penjimatan RM7.8 juta dan RM10.5 juta setahun berdasarkan kepada purata kadar faedah 5.23 peratus setahun.

“Ini adalah pembayaran semula sebahagian di bawah senario minimum dan maksimum masing-masing pada RM150.0 juta dan RM200.0 juta,” kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Cadangan pengumpulan dana itu akan membolehkan kumpulan itu mengumpulkan dana yang diperlukan tanpa menanggung perbelanjaan faedah tambahan, yang meminimumkan potensi aliran keluar tunai berkaitan pembayaran faedah.

Tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangka dan bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa relevan, E&O berkata cadangan tawaran saham persendirian itu dijangka selesai pada suku pertama 2019 dan cadangan terbitan hak dengan waran, pada suku ketiga tahun ini.

-BERNAMA

76 dibaca
Berita Harian X