Rabu, 6 Februari 2019 | 5:11pm
KETUA Pegawai Eksekutif Axiata Digital Services Sdn Bhd, Mohd Khairil Abdullah. - Foto Salhani Ibrahim

Sasaran tujuh juta pengguna Boost menjelang hujung tahun

KUALA LUMPUR: Axiata Digital Services Sdn Bhd mengunjurkan jumlah pengguna bagi jenama dompet elektronik (e-dompet) miliknya, iaitu Boost meningkat kepada tujuh juta dan 150,000 titik jualan peniaga menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah, berkata pada masa ini e-dompet terbabit memiliki 3.6 juta pengguna dan 63,000 titik jualan peniaga yang terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan terutama peruncitan.

"Kami yakin mampu mencapai sasaran ini berdasarkan pemerhatian dan kajian kami yang mendapati e-dompet semakin diterima baik dalam kalangan pengguna di negara ini," katanya dalam temubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Boost adalah jenama perkhidmatan kewangan di bawah Axiata Digital, iaitu unit digital di bawah Kumpulan Axiata Bhd yang ditubuhkan pada 2012, bertujuan mengambil aset daripada syarikat telekomunikasi bagi mewujudkan peluang perniagaan baru.

Jenama terbabit bermula sebagai dompet tambah nilai mudah alih pada Januari 2017 sebelum diperluaskan kepada e-dompet sepenuhnya pada penghujung 2017 selepas memperoleh lesen daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Mohd Khairil berkata, Boost mencatatkan prestasi sangat menggalakkan pada tahun lalu di mana ia mencatatkan peningkatan 14 kali ganda pertumbuhan bagi purata jumlah perbelanjaan bagi setiap pengguna berbanding 2017.

Menurutnya, e-dompet itu juga turut mencatatkan pertumbuhan 33 kali ganda pertumbuhan daripada aspek nilai transaksi kasar (GTV) yang mewakili nilai perbelanjaan keseluruhan bagi tahun lalu berbanding 2017.

Segmen penyumbang utama bagi Boost adalah peruncitan yang membabitkan transaksi kod QR dan pembayaran tempat parkir kereta di ikuti segmen atas talian dan diikuti pembayaran bil.

"Untuk tahun ini, kami menyasarkan peningkatan sebanyak 10 kali ganda bagi purata jumlah perbelanjaan bagi setiap pengguna dan 18 kali ganda bagi GTV, Walaupun jumlah ini dilihat rendah berbanding tahun lalu namun ia relevan berikutan kami mencatatkan pertumbuhan yang begitu besar pada 2018," katanya.

Sementara itu, Boost merancang bagi meluaskan perkhidmatannya kepada pembiayaan dan insurans mikro menjelang suku kedua tahun ini selepas mendapat kelulusan BNM baru-baru ini untuk menawarkan produk kewangan yang lain selari dengan status Axiata Digital sebagai syarikat perkhidmatan kewangan.

Khairil berkata, perkhidmatan terbabit diperkenalkan khusus untuk membantu peniaga Boost terutama dalam kalangan peniaga kecil untuk mempertingkatkan pertumbuhan perniagaan dan melindungi perniagaan berdasarkan keperluan peniaga.

"Kami lebih memberi fokus kepada peniaga kecil seperti contoh mereka yang meniaga di pasar malam berikutan dua pertiga daripada 63,000 titik jualan peniaga Boost adalah terdiri daripada golongan ini dan kami berpendapat golongan ini perlu dibantu berikutan kesukaran mereka dalam mendapatkan kemudahan insurans dan simpanan.

"Untuk permulaan, kami akan menawarkan perkhidmatan insurans mikro terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada pembiayaan mikro dalam tahun ini juga yang memiliki persamaan seperti yang ditawarkan Boost di Indonesia melalui produk dikenali Boost Proteksi," katanya.

325 dibaca
Berita Harian X