Isnin, 28 Januari 2019 | 5:52pm
PENGURUS Besar PIJ, Abdul Rashid A Rahman. - Foto Saifullizan Tamadi

PIJ bina hospital pakar RM300 juta di Johor Bahru

KUALA LUMPUR: Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ) bakal membangunkan sebuah hospital pakar berkapasiti 306 katil yang bernilai RM300 juta di Johor yang dijangka siap pada 2023.  

 

Hospital yang akan dibina di Bandar Baru Uda, Johor Bahru itu akan dibangunkan secara usaha sama dengan Kencana Healthcare Sdn Bhd. Kos pembinaan hospital itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Kencana Healthcare. 

   

Pengurus Besar PIJ, Abdul Rashid A Rahman, berkata hospital pakar itu akan dibangunkan di atas tanah waqaf seluas 2.23 hektar milik Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang kini telah diserahkan kepada PIJ untuk diuruskan.

   

"Ketika ini, kemudahan merancang telah disiapkan dan sedang menunggu kelulusan pelan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan. Kita jangka, ia akan diluluskan pada Mac ini dan pembinaan bermula sebulan selepas itu.

   

"Hospital ini apabila siap dibina kelak, akan diuruskan oleh tenaga perubatan dari Institut Jantung Negara (IJN) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

  

"Kadar caj rawatan yang akan dikenakan kepada semua pesakit dijangka 10 peratus lebih rendah daripada caj di hospital swasta lain manakala untuk golongan asnaf yang berdaftar dengan MAIJ akan mendapat rawatan percuma di hospital ini," katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

   

Mengulas lanjut Abdul Rashid, berkata sebuah hotel empat bintang setinggi lapan tingkat juga akan dibangunkan bersebelahan dengan hospital berkenaan.

  

"Pembinaan hotel ini adalah untuk menyediakan kemudahan penginapan kepada pelanggan yang ingin menemani pesakit sepanjang menerima rawatan di hospital berkenaan. Selain itu, ia juga sebagai antara daya tarikan bagi merancakkan sektor pelancongan hospital di negeri ini," katanya.

   

Dalam perkembangan lain, Abdul Rashid berkata, TWRJ kini mempunyai lebih RM12 juta dana waqaf di bawah pengurusannya dan setakat ini sudah menggunakan RM250,000 bagi pembinaan sebuah surau dan RM400,000 untuk pusat hemodialisis.

 

"Untuk tahun ini, kita merancang untuk membina dua pusat perniagaan di Johor yang masing-masing bernilai RM2 juta. Pada masa ini jururunding sedang menilai pelan konsep pembangunan yang telah dicadangkan dan kami menjangkakan ia akan mula dibangunkan tidak lama lagi," katanya.

  

 Info

   Perbadanan Islam Johor (PIJ)

   - Dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Johor (PKEINJ).

   - Melabur dalam dua anak syarikat utama iaitu PIJ Holdings Sdn Bhd dan Insist Amilat Sdn Bhd.

   - PIJ juga membuat beberapa pelaburan jangka pendek di institusi kewangan tempatan.

421 dibaca
Berita Harian X