Rabu, 23 Januari 2019 | 3:08pm
Ketua Pegawai Eksekutif Fraser & Neave Holdings Bhd, Lim Yew Hoe. Foto Owee Ah Chun.

F&N sasar eksport ke negara Islam

KUALA LUMPUR: Fraser&Neave Holdings Bhd (F&N), pengeluar makanan dan minuman terkemuka menyasarkan eksport bernilai RM100 juta ke pasaran negara Islam menjelang 2020.

Ia sebahagian daripada sasaran anak syarikat Fraser&Neave Limited yang berpangkalan di Singapura itu untuk mencatatkan eksport bernilai RM800 juta tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe, berkata sasaran itu sejajar dengan matlamat kumpulan untuk menjadi antara peserta industri terkemuka dalam industri tahun depan.

"Kami berusaha untuk memasuki lebih banyak pasaran halal, sejajar dengan status Malaysia sebagai peneraju dan hab bagi sektor halal dunia.

"Antara negara yang dilihat berpotensi termasuk di rantau Asia Barat," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-57 F&N, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yew Hoe berkata F&N juga memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) RM30 juta tahun ini bagi memperkukuhkan tawaran inovatif kepada pelanggan.

Katanya, pelaburan itu membabitkan barisan pengeluaran baharu dan kelengkapan tambahan untuk meningkatkan kapasiti serta keupayaan pengeluaran sedia ada dalam usaha menggiatkan pengembangan ke dalam produk dan format baharu.

"Kumpulan akan mengutamakan inisiatif untuk memanfaatkan sinergi hasil dengan memberi tumpuan kepada tiga pemacu pertumbuhan iaitu inovasi, kecemerlangan pelaksanaan dan daya saing kos untuk menghasilkan pertumbuhan yang menguntungkan serta mampan.

"Justeru, kami memberi keutamaan usaha dengan memberi tumpuan kepada kategori produk. Pelaburan RM30 juta itu turut digunakan dalam kilang pengeluaran minuman kami pada tahun ini (Shah Alam) bagi meningkatkan keupayaan syarikat menawarkan produk serta pembungkusan baharu," katanya.

Syarikat juga, katanya akan mengeluarkan lebih 12 rangkaian produk baharu tahun ini terutama keluaran produk lebih berkhasiat serta menyihatkan.

Mengulas mengenai cukai minuman bergula yang bakal diperkenalkan 1 April ini, beliau berkata F&N menyokong saranan pihak berkuasa untuk meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Kami akan memberi tumpuan mengurangkan kandungan gula bagi kebanyakan produk keluaran kepada pengurangan daripada lima peratus, namun memberi jaminan ia masih menjanjikan rasa yang sama.

"Setakat ini, kami masih menunggu butiran terperinci mengenai pelaksanaan cukai berkenaan," katanya.

Meskipun pelaksanaan cukai minuman bergula dijangka akan memberi kesan kepada sekitar 90 peratus daripada barisan produknya, beliau berkata F&N berusaha mengurangkan impak berkenaan menerusi pendekatan menggunakan resipi asal. mengurangkan kandungan gula dan melaksanaan transformasi portfolio.

Bagi tahun berakhir 30 September 2018, F&N mencatatkan pendapatan RM4.11 bilion berbanding RM4.1 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong oleh kegiatan promosi berkesan dan jualan eksport lebih tinggi yang mengurangkan kesan daripada rasionalisasi portfolio.

51 dibaca
Berita Harian X