Rabu, 23 Januari 2019 | 2:07pm
Ketua Pegawai Eksekutif, AmMetlife Takaful, Noor Azam Mohd Yusof (kiri) dan Pengurus Besar, Perbadanan Islam Johor, Abdul Rashid A Rahman (kanan), bertukar dokumen perjanjian persefahaman (MoU) di bangunan Ambank Group. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi.

AmMetLife Takaful perkenal pelan bayaran waqaf

KUALA LUMPUR: AmMetLife Takaful Bhd dan Tabung Waqaf Rakyat Johor bekerjasama memperkenalkan pelan baharu yang menawarkan pembayaran khusus untuk waqaf selepas kematian pemegang polisi, Protect-i Budi dan ProtectSecure-i Murni.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azam Mohd Yusof, berkata kerjasama dengan Tabung Waqaf Rakyat Johor itu adalah inisiatif baharu diperkenalkan syarikat itu bagi menawarkan produk yang inovatif dan berlainan daripada pesaing yang lain.

"Bagi ProtectSecure-i Murni, bayaran sebanyak RM1,000 akan disalurkan kepada tabung waqaf dan bagi Protect-i Budi, bayaran minimum sebanyak RM10,000.

"Pelan membabitkan waqaf yang kita tawarkan ini ketika ini adalah yang paling menyeluruh dibandingkan pesaing lain," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara AmMetLife Takaful dan Tabung Waqaf Rakyat Johor di sini, hari ini.

Beliau mewakili AmMetLife Takaful manakala Tabung Waqaf Rakyat Johor diwakili oleh Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ), Abdul Rashid A Rahman.

Noor Azam berkata, pengenalan beberapa inisiatif dan produk baharu oleh AmMetLife Takaful akan membolehkannya mencapai sasaran pertumbuhan dua angka bagi tahun kewangan 2019 yang berakhir 31 Mac 2020.

Antara lain, katanya ialah penyertaan syarikat sebagai panel pengendali takaful untuk pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), yang mampu menawarkan peluang pasaran baharu yang besar kerana membabitkan lebih 1.6 juta kakitangan awam.

Sementara itu, Abdul Rashid, berkata Tabung Waqaf Rakyat Johor berharap kerjasama itu akan dapat menambah jumlah dana waqaf diuruskan pihaknya yang ketika ini sudah berjumlah lebih RM12 juta.

Katanya, dana daripada waqaf itu akan digunakan bagi tujuan pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi yang antara perancangan pihaknya ketika ini ialah untuk membina dua pusat perniagaan di Johor yang masing-masing bernilai RM2 juta.

"Pada masa ini jururunding sedang menilai pelan konsep pembangunan yang telah dicadangkan dan kami menjangkakan ia akan mula dibangunkan tidak lama lagi," katanya.

146 dibaca
Berita Harian X