Selasa, 22 Januari 2019 | 6:52pm
Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri Holdings Bhd, Datuk Matthew Tee. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Bina Puri-Tim Sekata JV dapat kontrak laluan berkembar

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat usahasama antara Bina Puri Builder Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bina Puri Holdings Bhd, dan Tim Sekata Sdn Bhd (Bina Puri-Tim Sekata JV) memperoleh kontrak kerja sivil untuk projek laluan berkembar berelektrik dari Gemas ke Johor Bahru.

Projek dengan nilai kontrak RM251.53 juta itu diperoleh daripada Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd untuk menjalankan kerja-kerja Sivil di Seksyen 4 untuk Kerja Pelepasan Tapak dan Kerja Tambakan Tanah serta Semua Kerja Berkaitan untuk Projek Laluan Berkembar Berelektrik dari Gemas ke Johor Bahru yang dijangka siap pada 30 April 2020.

Skop kerja meliputi kerja tanah untuk lencongan trek, pembinaan platform dan landasan trek, rawatan tanah, surcaj, selimut pasir, sub-ballast, struktur penahan, saliran trek , pembetung trek, dan perlindungan sungai.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri Holdings Bhd, Datuk Matthew Tee, berkata kumpulan menjangkakan prospek tahun 2019 yang lebih cemerlang dengan projek terbaharu itu dengan ia kini memiliki tempahan kerja belum disiapkan bernilai RM1.145 bilion.

“Kami berasa bangga selaku antara syarikat yang turut terbabit dalam melaksanakan Projek Laluan Berkembar Berelektrik dari Gemas ke Johor Bahru ini.

“Dengan projek ini juga, ia membuktikan kemampuan Bina Puri dalam membina pelbagai jenis projek termasuk yang berkaitan dengan trek landasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bina Puri mempunyai pengalaman yang luas selama 43 tahun dan telah menyiapkan banyak projek berkaitan trek landasan seperti dua pakej Projek LRT Sambungan Laluan Ampang (Pakej A dan Pakej B) dengan jumlah kontrak bernilai RM1.1 bilion yang siap pada Oktober 2015 dan Jun 2016, serta satu Kerja Infrastruktur di Stesen LRT Awan Besar Laluan Sambungan Ampang bernilai RM49.87 juta yang siap pada Mei 2016.

Berita Harian X