Ahad, 20 Januari 2019 | 5:55pm
NAIB Presiden Kanan Johor Corporation (JCorp) Jamaludin Md Ali (kiri) menukar dokumen MoU dengan Mohd Khairuzamri M Salleh (kanan) di Johor Bahru. - Foto Mohd Fahmi Yusof

Kerjasama JCorp, FAMA, LPNM bakal lahirkan 1,500 usahawan

JOHOR BAHRU: Johor Corporation (JCorp) bakal melahirkan 1,500 usahawan di negeri ini dengan nilai jualan terkumpul syarikat berjumlah RM220,000 tahun ini menerusi program Kelas Rancangan Usahawan (KRU).

Sasaran itu dapat direalisasikan selepas JCorp memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), hari ini.

JCorp akan bekerjasama dengan FAMA dan LPNM bagi memberi latihan, pendedahan serta bimbingan keusahawanan kepada peserta KRU terdiri dalam kalangan pelajar daripada 50 sekolah.

Majlis menandatangani MoU disempurnakan Naib Presiden Kanan JCorp, Jamaludin Md Ali bersama Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh.

Yang turut hadir dan menyaksikan pertukaran MoU ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata KRU diwujudkan hasil kerjasama strategik JCorp dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pada 2016.

Beliau berkata ia diasaskan bagi menerapkan nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Setakat ini, seramai 1,980 pelajar sudah menerima manfaat daripada pelaksanaan program KRU yang merekodkan jualan terkumpul syarikat berjumlah RM483,000.

“Kewujudan kelas KRU diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu bersaing dalam dunia perniagaan,” katanya ketika berucap pada Program Keusahawanan dan Pertukaran MoU antara JCorp, FAMA dan LPNM di sini, hari ini.

Kamaruzzaman berkata, majlis pertukaran MoU itu membuktikan komitmen JCorp bersama FAMA dan LPNM dalam memperkasakan keusahawanan dengan harapan dapat melahirkan lebih ramai usahawan terlatih dan mempunyai asas kukuh perniagaan.

“Menerusi kerjasama strategik ini, usahawan FAMA dan LPNM di setiap daerah akan menjadi mentor dalam mendidik dan memberi panduan kepada peserta KRU untuk menjalan perniagaan.

“JCorp menerusi Waqaf Dana Niaga menyediakan dana bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan kepada usahawan FAMA dan LPNM yang membabitkan ibu tunggal, asnaf dan mualaf dengan objektif meningkatkan taraf hidup,” katanya.

243 dibaca
Berita Harian X