Rabu, 16 Januari 2019 | 4:07pm

Nazri Shariff dilantik pemangku CEO PR1MA

KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mengumumkan pelantikan Mohd Nazri Md Shariff sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) menggantikan Datuk Abdul Mutalib Alias yang tidak memperbaharui kontrak perkhidmatannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, PR1MA berkata pelantikan Mohd Nazri itu berkuatkuasa bermula hari ini.

Katanya, sebelum pelantikan berkenaan, Mohd Nazri adalah Ketua Pegawai Kewangan (CFO) PR1MA dan sebelum menyertai agensi terbabit pada 2016, beliau berkhidmat sebagai CEO Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Tradewinds (M) Bhd dan anak-anak syarikatnya membabitkan operasi tempatan serta luar negara.

Selain itu, beliau turut berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

“Mohd Nazri memulakan kerjayanya dengan firma Akauntan Bertauliah di United Kingdom dan selepas kembali ke Malaysia, berkhidmat di bank perdagangan dan pelaburan.

“Beliau turut pernah berkhidmat dengan syarikat besar yang tersenarai di Bursa Malaysia seperti Padiberas Nasional, Tradewinds Plantation Bhd, Gas Malaysia Bhd dan Pernas International Holdings Group di mana beliau memegang pelbagai jawatan kanan.

“Mohd Nazri ialah seorang Ahli Institut Akauntan Malaysia dan Felo Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun, United Kingdom dengan pengalaman kerja selama hampir 30 tahun,” katanya.

PR1MA juga mengucapkan terima kasih kepada Abdul Mutalib sepanjang perkhidmatannya dan sumbangan berharga kepada agensi berkenaan.

Berita Harian X