Selasa, 15 Januari 2019 | 9:58pm

Agrobank umum pelantikan CFO dan CHRO

Bank itu dalam kenyataannya berkata, kedua-dua mereka akan menjadi sebahagian daripada pihak pengurusan kanan Agrobank di bawah naungan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank (P/CEO), Syed Alwi Mohamed Sultan.

Kamarul Azman adalah Akauntan Berkanun Bertauliah dengan lebih dari 20 tahun pengalaman bekerja di pelbagai bidang kewangan, perakaunan, perbendaharaan kewangan, kawalan dalaman dan fungsi kewangan korporat yang lain.

Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Perakaunan dari University of Portsmouth, United Kingdom dan ahli ACCA (Association of Chartered Certified Accountant).

Sebelum menyertai Agrobank, Kamarul Azman memegang beberapa jawatan kanan seperti Pengarah, Ketua Kewangan & Operasi Pelaburan di CIMB-Principal Asset Management Bhd, Kawalan Kewangan UK di Skrill Limited, iaitu sebuah syarikat digital e-Wallet dan pelbagai lagi tugasan serta pengalaman di PwC UK, KPMG Europe, Pejabat EY KL dan CIMB Bank London.

Selepas kembali ke Malaysia, Kamarul menyertai Agrobank pada 5 Jun 2017 sebagai Timbalan CFO dan dilantik sebagai CFO, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Sementara itu, Mohamed Parrish Ersalle mula berkhidmat di Agrobank pada 17 Disember 2018 sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia.

Beliau adalah pengamal sumber manusia yang berpengalaman dengan lebih dari 27 tahun pengalaman dalam bidang kepimpinan, pembangunan warga kerja, pembangunan organisasi, pengurusan prestasi, hubungan perindustrian dan pekerja daripada pelbagai industri seperti industri pembuatan, perkhidmatan kewangan, pegangan pelaburan dan pengurusan harta.

Mohamed Parrish Ersalle memegang Ijazah Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa.

Mengulas pelantikan terbabit, Syed Alwi berkata pihaknya dengan berbesar hati mengalu-alukan Kamarul Azman dan Mohamed Parrish Ersalle di Agrobank.

Beliau berkata, pihaknya yakin pengalaman kolektif dan kualiti profesional yang dimiliki kedua-duanya akan mengukuhkan kedudukan Agrobank.

“Agrobank komited dengan usaha kami ke arah sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) berasaskan nilai Islam yang mampan berteraskan kehendak pasaran dan memberi fokus kepada khidmat pelanggan dan pembangunan kakitangan.

"Agrobank bakal meraikan ulang tahun ke-50 pada tahun ini. Justeru, Agrobank telah bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran dengan mencapai prestasi kewangan yang cemerlang selain menyumbang kearah pertumbuhan ekonomi dan menyokong usaha dan strategi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA),” katanya.

Berita Harian X