Jumaat, 11 Januari 2019 | 7:15pm

Saham Perisai digantung, akan dinyahsenarai dari Bursa

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd telah memulakan proses nyahsenarai Perisai Petroleum Teknologi Bhd selepas ia menolak pelan penyusunan semula syarikat minyak dan gas yang bermasalah itu.

Dalam kenyataannya hari ini, pengendali pasaran saham tempatan itu berkata urus niaga saham Perisai akan digantung berkuat kuasa 22 Januari ini.

“Perisai akan dinyahsenarai pada 13 Februari, melainkan rayuan terhadap penolakan pelan penyusunan semula dan nyahsenarai dihantar kepada Bursa Securities pada atau sebelum 10 Februari,” katanya.

Perisai diletakkan sebagai Nota Amalan 17 (PN17) pada Oktober 2016 selepas syarikat milik penuhnya, Perisai Capital (L) Inc mungkir dalam pembayaran faedah dan prinsipal nota jangka sederhana pelbagai mata wang S$125 juta.

Syarikat itu menghantar pelan penyusunan semulanya kepada Bursa Securities pada Ogos tahun lalu.

Perisai adalah penyedia perkhidmatan minyak dan gas huluan.

Saham syarikat itu semalam berada pada tiga sen semasa penutup dagangan.

593 dibaca
Berita Harian X