Jumaat, 11 Januari 2019 | 6:03pm

Khazanah untung besar saham Phunware melonjak

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd meraih keuntungan apabila saham firma pelaburannya, Phunware Inc yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) meningkat 2,000 peratus minggu ini.

Khazanah adalah pelabur terbesar firma itu dengan 2.2 juta saham diikuti oleh Ketua Pegawai Teknologi Phunware, Luan Dang.

Laporan Bloomberg menyatakan, saham Phunware naik lebih 2,000 peratus susulan penggabungannya dengan firma Stellar Acquisition dari Greece pada akhir Disember lalu.

“Saham firma itu pada akhir 2018 berada pada AS$14.26 dan ditutup pada rekod tertingginya AS$220 pada Rabu, dan melonjak setinggi AS$550 pada Khamis sebelum mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 29 peratus hari ini kepada AS$157,” kata laporan itu.

Pada paras semasa, Phunware mempunyai permodalan pasaran sekitar AS$4.4 bilion, naik dari AS$56.5 juta pada akhir tahun lalu.

Jumlahnya pada Rabu sebanyak 29,170 saham dengan nilai urus niaga sebanyak AS$2.2 juta.

Diperbadankan pada 2009, Phunware meraih AS$84 juta daripada sekumpulan pelabur seperti Central Texas Angel Network, Wild Basin Investments, Wavemaker Partners, Samsung Ventures dan Khazanah.

Firma itu pada tahun lalu juga merancang mengeluarkan token mata wang kripto yang dipanggil PhunCoins, yang dijangka menjana AS$10 juta hingga AS$100 juta, tetapi tidak jelas jika firma itu telah melakukannya.

Pelaburan Khazanah ke dalam firma inovasi dan teknologi termasuk Phunware, kini sekitar empat peratus daripada jumlah portfolionya.

Bagaimanapun, tidak semua pelaburan Khazanah dalam teknologi berjaya kerana sebagai contoh Blippar Inc yang berpangkalan di United Kingdom pada Disember 2018 berhadapan dengan ketidakupayaan pembiayaan.

Ditubuhkan pada 2011, Blippar yang memfokuskan dalam realiti terimbuh (AR), kecerdasan buatan dan visi komputer telah berkembang dengan pesat sejak permulaan.

Pada 2016, Khazanah menjadi salah seorang pelabur terbesar Blippar apabila ia mengetuai pusingan pembiayaan Siri D berjumlah AS$54 juta.

1314 dibaca
Berita Harian X