Isnin, 7 Januari 2019 | 6:23pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, (kanan) bersama Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, (kiri) pada Majlis Pelancaran Program Lestari: Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Bumiputera di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto NSTP/Azhar Ramli.

LESTARI buka peluang vendor Bumiputera teroka segmen OGSE

KUALA LUMPUR: Program LESTARI yang ditubuhkan melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan PETRONAS akan memberi peluang kepada usahawan Bumiputera untuk terbabit dalam sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) dalam negara.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, Program LESTARI adalah kesinambungan komitmen berterusan PETRONAS bagi memperkasakan usahawan Bumiputera, selain menjadi penanda aras kepada entiti perniagaan yang lain.

Beliau berkata, program dengan kerjasama dua pihak itu akan menekankan kepentingan kepada usahawan OGSE Bumiputera memahami hala tuju industri dan mengenal pasti peluang baharu yang bersesuaian dengan keupayaan masing-masing.

"Apa yang penting, mereka mampu membina serta meningkatkan daya tahan dalam berdepan dengan persekitaran industri yang semakin mencabar.

"Fokus utama program ini adalah untuk mengukuhkan ekosistem minyak dan gas negara, terutama kepada vendor OGSE Bumiputera selain membina kemahiran keusahawanan.

"Kami juga mahu program ini dapat melonjakkan lagi profil dan kecekapan syarikat terbabit supaya berpeluang meneroka pasaran baharu dan menawarkan produk 'Made in Malaysia'," katanya pada Majlis Pelancaran Program LESTARI: Inisiatif Pemerkasaan Keusahasanan Bumiputera di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MED, Wan Suraya Wan Mohd Radzi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Mohd Redzuan berkata, sehingga kini sebanyak 21 syarikat peneraju dan 1,354 vendor terbabit dalam Program Pembangunan Vendor MED.

Katanya, bagi sektor OGSE pula, terdapat tiga syarikat peneraju iaitu PETRONAS, Uzma Engineering dan Serba Dinamik.

"Keseluruhan jumlah vendor bagi sektor ini adalah 33 vendor dan daripada jumlah itu, 24 vendor bernaung di bawah syarikat minyak dan gas negara," katanya.

Selain itu, MED pada tahun ini juga akan membangunkan ekosistem bersepadu untuk syarikat vendor tempatan melalui Program Reach Out and Adopt (ROAD) bagi melatih usahawan berpotensi.

Berita Harian X