Khamis, 27 Disember 2018 | 4:07pm
Ketua Pegawai Eksekutif TFP Solutions Bhd, Abdul Latib Tokimin. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

TFP Solutions jangka raih pendapatan berulang RM70 juta

KUALA LUMPUR: TFP Solutions Bhd, dijangka memperoleh pendapatan berulang sehingga RM70 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 menerusi kerjasama anak syarikatnya, MBP Solutions Sdn Bhd dengan MobilityOne Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Latib Tokimin, berkata transaksi berulang di antara dua pihak berkenaan akan menjadikan TFP Solutions sebagai pengumpul kepada MobilityOne.

“MobilityOne terbabit dengan teknologi kewangan yang membolehkan kita membangunkan gerbang pembayaran. Kami mempunyai lesen penuh dengan Bank Negara untuk menjalankan operasi pembayaran terminal seperti e-dompet," katanya selepas mesyuarat agung luar biasa syarikat itu di sini, hari ini.

Abdul Latib berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha TFP Solutions untuk mengembangkan capaiannya dalam segmen perniagaan teknologi dan kewangan.

"Kami juga mempunyai dua penggabungan membabitkan operator rangkaian maya mudah alih (MVNO) dan kandungan digital atas talian (filem dan permainan) yang dijadualkan dilancarkan antara suku pertama atau kedua 2019," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan TFP Solutions, Datuk Hussian A Rahman, berkata penggabungan yang pertama akan menggabungkan teknologi kewangan termasuk kemudahan pengiriman wang dan e-dompet.

"Kami akan menuju kepada MVNO dan apa juga produk yang bakal diperkenalkan dalam perkhidmatan kami akan disediakan oleh MobilityOne, iaitu organisasi e-dagang yang menyediakan perkhidmatan teknologi kewangan," katanya.

Hussian berkata, TFP dijangka mampu meraih pendapatan lebih besar tahun depan susulan dua penggabungan dengan MobilityOne.

“Bagaimanapun, rundingan dalaman sedang berjalan dan tiada sebarang keputusan diputuskan.

“Kami harus melihat kepada pasaran berpotensi untuk diceburi. Perkhidmatan yang bakal kami sediakan akan memudahkan pengguna," katanya.

Beliau berkata, TFP tidak lagi bergantung dengan projek dan kontrak konvensional dari kerajaan dan syarikat tetapi lebih memfokuskan kepada perniagaan pengguna.

"Sebaik sahaja kami bekerjasama dengan pihak relevan, maka ia akan dilancarkan secepat mungkin. E-dompet bukan satu perniagaan mudah kerana ia memerlukan kelulusan daripada bank pusat dan infrastruktur teknologi.

"Pasaran sekarang lebih kompetitif tetapi kami percaya masih ada peluang untuk kami," katanya.

Abdul Latib berkata, TFP tidak hanya akan menyediakan perkhidmatan untuk penduduk bandar tetapi juga di luar bandar dengan menyasarkan semua pengguna yang memiliki telefon pintar.

Katanya, MobilityOne mempunyai kemampuan besar dalam menyediakan kemudahan dan platform pembayaran e-dagang yang mampu memberi manfaat kepada TFP daripada pengalaman, kemampuan serta rangkaian MobilityOne.

“MBP Solutions akan menjadi agensi dan penjual bagi produk serta perkhidmatan MobilityOne.

“Ia termasuk tambah nilai prabayar internet telefon bimbit, pembayaran bil dan produk lain seperti e-dompet," katanya.

138 dibaca
Berita Harian X