Rabu, 19 Disember 2018 | 7:21pm
Datuk Muhamad Umar Swift. - Foto Azhar Ramli

Muhamad Umar Swift CEO baharu Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengumumkan persaraan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Tajuddin Atan yang akan berkuatkuasa pada 11 Februari tahun depan.

Bursa Malaysia dalam kenyataan berkata, syarikat itu menamakan Datuk Muhamad Umar Swift sebagai pengganti Tajuddin.

“Keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah ini adalah sejajar dengan pelaksanaan pelan penggantian kepimpinan yang teguh bagi memastikan peralihan itu dalam kedudukan terbaik bagi semua pihak berkepentingan.

“Malah, Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga memberi persetujuan untuk pelantikan CEO baharu mengikut Seksyen 10 dalam Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” katanya.

Tajuddin menyertai Bursa Malaysia sebagai CEO pada April 2011 dan diberikan mandat untuk mewujudkan pasaran modal yang kukuh di Malaysia.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan menerajui pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), dilaporkan bahawa kerajaan akan menggantikan Tajuddin, dalam siri perubahan pengurusan tertinggi yang dijalankan.

Bagaimanapun, Tajuddin ketika itu enggan menjawab spekulasi mengenai kedudukannya, dengan mengatakan ‘perniagaan adalah seperti biasa’.

Di bawah kepimpinannya, beliau melaksanakan pelbagai inisiatif strategi yang berjaya mengubah bursa saham itu kepada institusi nasional yang berjaya mewujudkan pasaran modal yang mantap, dinamik dan cekap.

Sebagai syarikat, Bursa Malaysia terus mempamerkan prestasi perniagaan yang kukuh dan mampan yang mana ia disokong oleh pencapaian kewangan yang positif.

Di sebalik persekitaran global yang mencabar pada 2018, Bursa Malaysia mengumumkan perolehan operasi yang tertinggi untuk tempoh sembilan bulan sejak penyenaraiannya pada tahun 2005.

Sementara itu, Umar mempunyai pengalaman lebih 22 tahun dalam sektor perkhidmatan kewangan dan perbankan.

Beliau ketika ini adalah CEO Kumpulan dan Pengarah Urusan Kumpulan MAA Group Bhd.

Malah, Umar juga adalah ahli bersekutu di Institut Akauntan Bertauliah Australian serta akaun bertauliah di Institut Akauntan Malaysia dan ahli bagi CPA Australia.

Selain itu, beliau adalah felo bagi Institut Percukaian Australia dan pada masa sama, felo bagi Institut Perkhidmatan Kewangan Australasia di Australia.

“Lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan Bursa Malaysia berharap untuk bekerja rapat dengan Umar dalam peranan barunya sebagai CEO.

“Pengalaman beliau akan membawa prespektif baru kepada syarikat dan yakin akan meneruskan kecemerlangan bursa saham ini dalam memacu pertumbuhan dan menjadi peneraju serta keterhubungan di ASEAN,” kata Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham A Aziz.

Berita Harian X