Selasa, 18 Disember 2018 | 5:00pm
KETUA CFS Kumpulan Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan (kanan) bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias hadir pada majlis pelancaran dua perkhidmatan baru itu di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Amirudin Sahib

Maybank jangka 20 peratus peningkatan dalam pelaburan ASNB

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangkakan peningkatan 20 peratus pelaburan dalam Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) susulan pengenalan dua perkhidmatan pelaburan baharu menerusi saluran digital.

Perkhidmatan baharu itu ialah pelaburan dalam unit ASNB melalui Maybank2u dan mesin ATM yang mana kedua-duanya adalah menerusi masa nyata.

Ketua CFS Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan, berkata ketika ini lebih tiga juta transaksi ASNB dilakukan di kaunter Maybank dalam tempoh setahun yang mana sejuta daripadanya adalah urus niaga deposit.

Katanya, kerjasama strategik dengan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu adalah tepat kerana bank berkenaan dapat menawarkan penyelesaian bersepadu, iaitu urus niaga deposit kini dapat dilakukan menerusi platform digital walaupun selepas waktu perbankan.

"Kami menjangkakan 50 peratus daripada transaksi deposit akan berpindah ke platform digital dan kami juga mengunjurkan pelaburan unit ASNB meningkat 20 peratus pada 2019 dengan pelancaran dua perkhidmatan ini.

"Sebagai peneraju dalam perbankan digital, Maybank sentiasa berusaha memanfaatkan keupayaan digital.

"Ia adalah bagi memastikan pelanggan dapat menikmati faedah dari segi kemudahan dan transaksi yang lancar bukan hanya untuk aktiviti perbankan, tetapi juga untuk pelaburan," katanya pada majlis pelancaran dua perkhidmatan baru itu di sini, hari ini.

Perkhidmatan itu dilancarkan secara bersama oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin.

Hamirullah berkata, dengan pelancaran itu, Maybank menjadi bank pertama di Malaysia yang menawarkan semakan masa nyata dan tambah nilai akaun ASNB pelanggan melalui platform perbankan dalam talian dan mudah alih di 2,700 mesin ATM dan Terminal Perkhidmatan Layan Diri seluruh negara.

"Perkhidmatan ini juga membolehkan pelanggan menyemak baki akaun ASNB mereka dan lima transaksi terakhir, termasuk dividen dan pemindahan secara serta-merta," katanya.

Katanya, meskipun dua perkhidmatan baharu itu boleh didapati dalam versi web Maybank2u, ia akan dilanjutkan ke platform aplikasi mudah alih Maybank menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, tambahan kepada dua servis baharu itu, ASNB dan Maybank juga mengumumkan kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat memindahkan dana bagi pihak pekerja ke ASNB melalui M2U Biz menjelang akhir Disember ini.

340 dibaca
Berita Harian X