Selasa, 11 Disember 2018 | 5:29pm

TM ONE dapat sijil ISO 18295-1:2017

KUALA LUMPUR: TM ONE, unit rumusan perniagaan Telekom Malaysia Bhd (TM), dianugerahkan sijil piawaian antarabangsa ISO 18295-1:2017, menjadikannya syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menerima pensijilan seumpamanya.

Anugerah pensijilan itu telah diperkenalkan oleh Organisasi Standard Antarabangsa (ISO) pada tahun 2017, khusus untuk keperluan perkhidmatan bagi pusat panggilan pelanggan (CCC).

Di Malaysia, pensijilan berkenaan dikendalikan Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia (SIRIM) QAS International Sdn Bhd.

Naib Presiden Eksekutif, TM ONE, Ir Azizi A Hadi berkata, pensijilan ISO 18295-1:2017 menandakan satu lagi kejayaan untuk TM ONE.

“Ini adalah bukti kepakaran dan dedikasi kami untuk terus berevolusi serta memperbaiki proses dan perkhidmatan kami untuk memenuhi piawaian antarabangsa yang tertinggi.

“Ia secara langsung dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi pusat panggilan dan sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan.

“Kami akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam operasi pusat panggilan dan mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam industri Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO) di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naib Presiden, Teknologi Perniagaan, TM ONE, Nizam Arshad menerima sijil berkenaan daripada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming dengan kehadiran Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Berita Harian X