Rabu, 5 Disember 2018 | 1:48pm

Muazzam dilantik CEO BHB, Bank Islam

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Bhd (BHB) mengumumkan perlantikan Mohd Muazzam Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi BHB dan anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) berkuat kuasa serta-merta.

Sebagai seorang Akauntan Berkanun, Mohd Muazzam menyertai Bank Islam pada 11 Mei 2015 sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO).

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif berikutan peletakan jawatan Khairul Kamarudin pada 20 Julai 2018 yang lalu.

BHB dalam satu kenyataan, berkata Mohd Muazzam memiliki pengalaman selama 22 tahun dalam bidang audit, kewangan dan perundingan.

Sejak menyertai Bank Islam, beliau memainkan peranan utama dalam hala tuju strategik Bank Islam, pengurusan modal dan lembaran imbangan, kewangan korporat, kredit, peletakan pasaran, perancangan dan kawalan kewangan serta pentadbiran am.

Beliau adalah ahli dalam pelbagai jawatankuasa eksekutif di Bank Islam dan mempengerusikan beberapa jawatankuasa pemandu projek.

Mohd Muazzam juga adalah Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat dalam Kumpulan BHB dan Bank Islam.

Beliau adalah Akauntan Bertauliah (Institut Akauntan Malaysia), Akauntan Awam Bertauliah (Institut Akauntan Awam Malaysia), Juruaudit Sistem Maklumat Bertauliah (ISACA) dan Akauntan Kewangan Awam Bertauliah (Institut Kewangan Awam dan Perakaunan Berkanun).

Selain itu, Mohd Muazzam juga pernah menjadi Rakan Kongsi KPMG dan Pengarah Eksekutif bagi Konsultansi Pengurusan KPMG dari tahun 1997 hingga 2015.

Berita Harian X