Rabu, 21 November 2018 | 7:12pm
PENGERUSI Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad. - Foto NSTP

Perolehan digital, dagangan Media Prima meningkat

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia mencatatkan peningkatan 79 peratus dalam perolehan digital dan dagangan bagi tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 September 2018, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perolehan digital dan dagangan meningkat kepada RM216.2 juta dalam tempoh dikaji berbanding RM121 juta dalam tempoh sama tahun lalu, mencerminkan kemajuan positif pelan transformasi perniagaan Media Prima untuk menjadi syarikat kandungan digital dan perdagangan utama di Malaysia.

Perolehan digital kumpulan meningkat kepada RM64.3 juta dalam tempoh dikaji daripada RM28 juta pada tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh strategi dalam perolehan pengiklanan digital dan peluang untuk menjana aliran wang.

Antara lain, ia termasuk kerjasama kandungan dengan rakan global seperti YouTube, Dailymotion dan Mashable Southeast Asia milik Ziff Davis dan menfokuskan sumber terhadap persekitaran pengiklanan programatik yang dilihat oleh penganalisis industri sebagai salah satu segmen pertumbuhan perolehan digital terpantas.

Kerjasama dengan YouTube dan Dailymotion membolehkan Media Prima untuk menerbitkan kandungan video dalam platform popular digital yang turut membolehkan kumpulan mencapai lebih ramai penonton dan meninggikan nilai untuk menjana wang.

Ini termasuk tonton, iaitu perkhidmatan penstriminan video terbesar Malaysia dengan lebih 8.4 juta pengguna berdaftar yang kini boleh

dinikmati tanpa kos oleh semua pengguna Malaysia.

Dalam penerbitan digital pula, perkongsian perlesenan REV Asia untuk menjalankan operasi Mashable Southeast Asia, iaitu cabang serantau dalam portal teknologi terkemuka antarabangsa yang menyasarkan golongan milenial, berjaya melebarkan kehadiran digital kumpulan di peringkat serantau iaitu di Indonesia, Filipina dan Singapura.

Dalam pengeluaran dan pengedaran kandungan, kumpulan berjaya mengorak langkah dengan menjual kandungan ke luar negara menerusi tayangan perdana filem keluaran Primeworks Studios, ‘Pulang’ kepada penyedia peneraju perkhidmatan penstriminan video antarabangsa dunia dengan meraih jutaan langganan di peringkat global.

Bagi dagangan pula, Rangkaian Televisyen Media Prima menerusi segmen beli belah di rumah, CJ WOW SHOP, menjana jumlah keseluruhan jualan RM152 juta bagi tempoh sembilan bulan, meningkat sebanyak 63 peratus daripada RM93 juta berbanding tempoh terdahulu.

Bagi tempoh dalam kajian, kumpulan juga memulakan usaha transformasi segmen radio kepada syarikat yang berfokus pendengar yang dikenali sebagai Ripple.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata keputusan yang dicapai melalui inisiatif perniagaan setakat ini mengesahkan bahawa usaha transformasi yang sedang dilaksanakan adalah berkesan meskipun berhadapan persekitaran industri media global yang mencabar.

“Kumpulan terus mencatatkan perkembangan di dalam segmen media digital sejak menjadi syarikat media digital ketiga terbesar di Malaysia. Manakala bagi segmen dagangan, perniagaan beli belah di rumah dijangka melangkaui sasaran perolehan sebelum akhir tahun ini.

“Walaupun masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dan cabaran yang mendatang, kami akan terus fokus dalam memacu pelan transformasi dan memberi pulangan kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid, berkata keputusan kewangan menunjukkan bahawa segmen digital dan dagangan adalah pertumbuhan baharu bagi Media Prima untuk bergerak ke hadapan.

Media Prima mencatatkan perolehan sebanyak RM894.8 juta bagi tempoh sembilan bulan 2018, berbanding RM889.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Kerugian selepas cukai menyusut kepada RM22.1 juta bagi tempoh sembilan bulan berbanding RM284.9 juta dalam tempoh sama 2017.

Berita Harian X