Isnin, 12 November 2018 | 1:59pm
VALERIE (kiri) bersama Mohamed Azahari pada majlis menandatangani dua MoU antara QSR Brands dengan pemaju hartanah KIP Group, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

QSR Brands tambah 67 cawangan KFC

KUALA LUMPUR: QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) merancang untuk membuka sekurang-kurangnya 67 cawangan baharu bagi restoran KFC di seluruh negara sepanjang tempoh 2018 hingga 2021.

Selain itu, pengendali rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut itu turut menyasarkan pembukaan minimum 60 restoran Pizza Hut, selain pembukaan 50 cawangan restoran KFC pandu lalu di stesen PETRONAS seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, berkata pihaknya akan menerokai model perniagaan baharu dengan menjalinkan kerjasama bersama syarikat daripada pelbagai industri sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperluaskan kehadiran serta meningkatkan kemudahan perkhidmatan syarikat.

"Kami sedar satu-satunya cara untuk kami berkembang maju adalah dengan melangkah ke hadapan bagi meneroka pelbagai peluang serta model perniagaan baharu dengan rakan kerjasama yang mempunyai persamaan hala tuju.

"Fokus utama kami pada masa ini ialah mengenal pasti rakan usaha sama berpotensi untuk menjadikan perniagaan kami terus berkembang," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) antara QSR Brands dengan pemaju hartanah kumpulan syarikat Kepong Industrial Park (KIP Group), di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerjasama strategik itu bagi menawarkan kemudahan perkhidmatan restoran KFC pandu lalu di cawangan pasar raya dan pusat beli-belah KIP Group yang dijangka mampu meningkatkan kadar penghunian serta pulangan pendapatan pada masa hadapan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KIP Group, Valerie Ong.

Menerusi MoU itu juga, QSR Brands bakal menubuhkan dua cawangan restoran pandu lalu baharu di KIP Mall Desa Coalfields (dimiliki KIP Group), Sungai Buloh dan di pasar raya milik KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT).

Mengulas lanjut mengenai kerjasama strategik, Mohamed Azahari berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti tujuh kerjasama berpotensi dan empat daripadanya sudah ditandatangani.

Sementara itu, Valerie ketika mengulas mengenai perancangan syarikatnya berkata, pihaknya sedang meneliti lima lagi peluang kerjasama dengan beberapa rakan berpotensi untuk terus meningkatkan keupayaan KIP Group ke peringkat lebih tinggi.

"Ia juga selari dengan sasaran kumpulan bagi mencapai sasaran peningkatan jumlah aset bernilai RM1 bilion menjelang tahun depan," katanya.

KIP Group yang juga pemegang saham KIP REIT kini mempunyai jumlah aset bernilai RM614.93 juta pada akhir September 2018.

Info:

- QSR Brands pengendali rangkaian restoran bersepadu terbesar di rantau ini dengan lebih 810 restoran KFC dan 460 restoran Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Kemboja dan Brunei.

- KIP Group memiliki pembangunan hartanah sekitar Lembah Klang dan Johor.

493 dibaca
Berita Harian X