Jumaat, 9 November 2018 | 6:28pm

Moody's ubah tinjauan penarafan PETRONAS LNG ke negatif

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service mengubah unjuran penarafan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) LNG Ltd (PLL) kepada negatif daripada stabil.

Dalam kenyataan hari ini, Penolong Naib Presiden dan Penganalisis Moody’s, Rachel Chua berkata perubahan unjuran penarafan PLL itu berasaskan unjuran penarafan bagi syarikat induk muktamad PLL, iaitu PETRONAS.

“PLL adalah 100 peratus milik PETRONAS, syarikat minyak nasional Malaysia, yang menjadi milik penuh kerajaan Malaysia (A3 stabil),” katanya.

Chua berkata memandangkan unjuran penarafan negatif, maka naik taraf penarafan adalah tidak mungkin.

“Moody's akan menyemak semula unjuran penarafan PLL kepada stabil daripada negatif hanya jika unjuran penarafan PETRONAS stabil,” katanya.

Semalam, Moody's berkata, tindakan penarafan itu adalah susulan pengumuman kerajaan bahawa PETRONAS akan membayar dividen RM26 bilion pada 2018 dan RM54 bilion (termasuk dividen istimewa sekali bayar RM30 bilion) pada 2019.

"Prospek negatif terhadap penarafan PETRONAS mencerminkan pandangan kami bahawa profil kewangannya mungkin merosot jika kerajaan terus meminta syarikat itu mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi, terutama jika harga minyak mentah susut,” menurut agensi penarafan itu.

-BERNAMA

243 dibaca
Berita Harian X