Jumaat, 9 November 2018 | 6:18pm

Cukai gula perkembangan negatif untuk F&N

KUALA LUMPUR: Duti eksais yang diumumkan baru-baru ini ke atas minuman bergula dijangka memberi cabaran kepada operasi minuman ringan, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N Holdings), yang menyumbang hampir 30 peratus daripada perolehan kumpulan itu, menurut RAM Ratings.

Bagaimanapun, RAM Ratings berkata langkah itu tidak akan memberi impak segera kepada penarafan kumpulan berkenaan.

Berkuat kuasa 1 April tahun depan, duti eksais mulai pada kadar 40 sen per liter akan dikenakan ke atas minuman yang mengandungi gula atau pemanis berasaskan gula melebihi lima gram per 100 ml, selain jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram bagi setiap 100 ml.

Dalam kenyataan, agensi penarafan itu berkata margin operasi perniagaan minuman ringan F&N Holdings yang kecil akan memberikan sedikit ruang untuk menyerap kenaikan kos tanpa menjejaskan keuntungannya.

Oleh itu, ia menjangka kos yang lebih tinggi kebanyakannya akan disalurkan kepada pengguna melalui harga produk yang lebih tinggi.

“Jika cukai gula disalurkan sepenuhnya, harga jualan produk minuman utama kumpulan itu dijangka meningkat antara 10 sen dan 60 sen.

“Walaupun kuantum kenaikan harga agak minimum, kami menjangka permintaan akan terjejas dalam masa terdekat berikutan reaksi pengguna," katanya.

Dalam jangka masa panjang, RAM Ratings menjangka pertumbuhan pasaran minuman siap minum akan lemah dan sebahagian besarnya didorong oleh jualan air botol, selaras dengan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan pengguna yang meningkat.

Bagaimanapun, ia menjangka operasi tenusu F&N Holdings di Malaysia dan Thailand akan mengukuhkan prestasi kumpulan, seperti dalam fiskal 2017 dan 2018.

“Walaupun perniagaan minuman ringan dijangka lemah, kami menjangka lembaran imbangan kumpulan itu dan metrik perlindungan-aliran tunai kekal kukuh," menurut RAM Ratings.

-BERNAMA

224 dibaca
Berita Harian X