Jumaat, 9 November 2018 | 3:27pm
PENGARAH Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam. - Foto Rohanis Shukri

Westports raih untung bersih RM388 juta

KUALA LUMPUR: Westports Holdings Bhd (Westports) mencatatkan keuntungan bersih RM388 juta untuk tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2018.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, keuntungan diperoleh selepas kadar cukai berkanun korporat, caj susut nilai yang lebih tinggi dan kos kewangan berikutan penyempurnaan pengembangan terminal kontena CT8 dan CT9 pada 2017.

Pada suku ketiga 2018, jumlah kontena meningkat sebanyak 14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, berikutan aktiviti ekonomi domestik lebih rancak yang merangsang momentum pergerakan kontena untuk meningkat sebanyak 19 peratus.

Jumlah penghantaran juga mencatatkan peningkatan selepas menyusut pada lima suku sebelum ini, apabila pengendalian kontena untuk kategori itu meningkat 12 peratus kepada 1.58 juta unit kontena 20 kaki (TEU).

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2018, Westports mengendalikan 6.96 juta TEU dan meraih pendapatan operasi sebanyak RM1.2 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, berkata jumlah penghantaran syarikat itu terjejas pada tahun lalu, terutama disebabkan pembentukan pakatan global baharu serta penggabungan dan pengambilalihan laluan penghantaran kontena.

“Jumlah pergerakan kontena kekal kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan 20 peratus bagi tempoh sembilan bulan didorong pertumbuhan ekonomi domestik.

“Segmen Intra-Asia menunjukkan momentum pertumbuhan sebanyak 12 peratus, meningkatkan sumbangan laluan perdagangan ke jumlah keseluruhan Westports kepada 61 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai pengembangan terminal kontena, Ruben berkata syarikat itu sudah berjaya membida, dan kini sedang membuat bayaran ansuran untuk tanah seluas 154 hektar bersebelahan dengan CT9.

“Syarikat juga sedang menilai sebarang kemungkinan untuk mendapatkan tanah berhampiran kedua untuk melaksanakan pengembangan untuk masa akan datang.

“Westports pada masa ini mempunyai kapasiti pengendalian kontena tahunan sebanyak 14 juta TEU dan kini sudah mampu menampung kapal kontena terbesar merangkumi 21,000 TEU.

463 dibaca
Berita Harian X