Jumaat, 9 November 2018 | 2:22pm

AirAsia X pertimbang pesawat Airbus A321neo

SINGAPURA: AirAsia X Bhd sedang mempertimbangkan menukar sebahagian pembelian model pesawat baharunya kepada Airbus A321neo.

Penukaran kepada pesawat berbadan kecil itu muncul di tengah-tengah rancangan AirAsia X dalam pemilikan 34 pesawat Airbus A330neo pada Julai lalu.

Namun, pembelian itu masih belum dimuktamadkan dan AirAsia dilaporkan masih tidak memberikan perintah tentatif pembeliannya itu kepada syarikat pengeluar, Airbus.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail, berkata penukaran model pesawat itu adalah perkara yang sedang dibincangkan pihaknya.

Namun, katanya, jumlah pesawat yang bakal ditukarkan kepada A321neo masih belum diputuskan lagi.

Beliau berkata, pesawat itu boleh digunakan di pasaran yang lebih kecil dan boleh digunakan di luar musim berbanding pesawat berbadan lebar seperti A330neo.

Katanya, perjanjian yang dimeterai pihaknya dengan Airbus pada Julai lalu bagi pembelian 34 pesawat A330neo adalah memorandum persefahaman yang belum ditandatangani oleh lembaga syarikat itu, namun perintah awal untuk pembelian 66 pesawat yang dinaik taraf, A330neo adalah sah dengan penghantaran ditetapkan bermula akhir tahun 2019.

Syarikat penerbangan itu bagaimanapun menghantar isyarat bercampur dalam pembeliannya dan masih tidak mengecualikan pembelian Boeing 787 Dreamliner pada masa depan, berpunca dari masalah enjin Rolls-Royce Holdings PLC pada A330neo.

Enjin Rolls-Royce yang serupa pada 787 mempunyai isu penting yang memerlukan perbaikan penyelenggaraan.

“AirAsia X akan mempertimbangkan pembelian 787 dengan enjin General Electric,” katanya.

-Reuters

636 dibaca
Berita Harian X