Khamis, 8 November 2018 | 7:53pm

Media Prima sasar untuk kekal syarikat peneraju kandungan digital utama dan dagangan

SHAH ALAM: Media Prima Berhad (MPB) menyasarkan untuk kekal sebagai syarikat peneraju kandungan digital utama dan dagangan di Malaysia untuk kekal relevan dalam era digital masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali berkata, bagi mencapai sasaran berkenaan, MPB memfokuskan kepada transformasi kandungan rangkaian televisyen, radio, media cetak dan media sosial secara holistik.

“Bagi memastikan kandungan digital kekal relevan, sebagai contoh MPB menyediakan platform percuma yang boleh ditonton di mana sahaja secara percuma.

“Langkah itu ternyata berjaya menaikkan jumlah penonton sekaligus memberi keyakinan kepada pelabur dan rakan niaga kami untuk terus bekerjasama,” katanya kepada media pada sesi bual santai bersama penganalisis institusi kewangan di Studio CJ WOW Shop Glenmarie, hari ini.

Pada sesi bual santai berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid berkongsi mengenai pencapaian syarikat sebagai peneraju kandungan digital melalui rangkaian televisyen, radio, media cetak dan media sosial.

Antara institusi kewangan yang hadir adalah CIMB Investment Bank, RHB Asset Management, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Semua wakil sebelum itu dibawa melihat studio CJ Wow Shop dan menyaksikan siaran langsung rancangan berkenaan.

Mereka turut dibawa melihat proses ‘belakang tabir’ proses jual beli produk berkenaan melalui panggilan telefon oleh penonton rancangan itu.

Sesi berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MPB Farnida Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul, Ketua Pegawai Eksekutif Big Tree Outdoor Sdn Bhd, Shukor Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar.

Berita Harian X