Khamis, 8 November 2018 | 1:24pm

Public Bank perkenal pembayaran digital semua dalam satu

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd (Public Bank) dengan kerjasama REVENUE Group Bhd (REVENUE) melancarkan terminal pembayaran digital semua dalam satu bagi memudahkan proses penerimaan bayaran menerusi kad dan dompet mudah alih (e-dompet).

Penggunaan terminal pembayaran digital semua dalam satu yang dikenali sebagai ‘Smart Android’ berkenaan akan mula dibuka kepada semua pengguna bermula esok.

Peranti ‘Smart Android’ yang pertama seumpamanya di Malaysia itu akan memudahkan proses penerimaan bayaran kerana ia membolehkan peniaga runcit menerima bayaran menerusi kad dan e-dompet.

Ketua Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek, berkata penggunaan peranti berkenaan akan membolehkan pihaknya memberikan manfaat tambahan kepada semua rakan niaga baharu dan sedia ada.

“Ia satu daripada inisiatif berterusan dalam penjelajahan digital Public Bank. Sehingga akhir September lalu, bank sudah mempunyai 60,000 terminal Electronic Data Capture (EDC) di seluruh negara.

“Kami akan meneruskan strategi untuk meningkatkan pangkalan rakan niaga dan menambah perkhidmatan penerimaan baharu, seiring dengan visi Bank Negara Malaysia (BNM) yang mahu menggalakkan transaksi tanpa tunai di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif REVENUE, Brian Ng Shih Chiow, selain wakil rakan niaga Public Bank seperti AA Pharmacy, Alpro Plus Pharmacy, Hong Kong Sasa, L’ occitane dan Popular Bookstore.

Sementara itu, Shih Chiow berkata kerjasama dengan Public Bank itu dijangka menyumbang secara signifikan terhadap pertumbuhan syarikat.

“Dengan bermulanya penggunaan peranti ‘Smart Android’ ini, kami menyasar perolehan dua angka pada suku kedua tahun kewangan kami yang berakhir pada 31 Disember ini.

“Selain Public Bank, kami juga menyasar untuk menjalin kerjasama dengan lapan lagi institusi perbankan tempatan bagi menyediakan kemudahan ini dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Terminal pembayaran berkenaan boleh mengendalikan pembayaran kod bergerak Quick Response (QR) termasuk Alipay, Boost, Touch ‘n Go selain kad seperti Visa, MasterCard, MyDebit dan UnionPay.

365 dibaca
Berita Harian X