Khamis, 1 November 2018 | 12:11pm
PETRONAS-logo

PETRONAS berjaya bekal LNG ke kapal bunker LNG terbesar dunia

PENGERANG: PETRONAS menerusi anak syarikat, PETRONAS LNG Ltd (PLL), mencatat pencapaian penting berikutan kejayaannya menyelesaikan operasi bekalan gas asli cecair (LNG) pertama di Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair (RGTP) baru-baru ini.

Ia susulan perjanjian antara PLL dan Uranos Vermögensverwaltungs GmbH & Co KG, syarikat usaha sama antara Bernhard Schulte dan Babcock International.

Operasi mengisi LNG ke dalam Kapal Bunker LNG (LBV) terbesar dunia, Kairos, dengan kapasiti 7,500 meter padu itu berlangsung di jeti RGTP

Demikian menurut kenyataan PETRONAS hari ini.

Kairos belayar dari Hyundai Mipo Dockyard, Ulsan, Korea Selatan, dan menerima bekalan LNG daripada PLL, dalam perjalanannya ke Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif PLL, Ezhar Yazid Jaafar, berkata pihaknya percaya peluang penghantaran LNG akan meningkatkan susulan ia adalah bahanapi yang lebih bersih.

“Syarat baharu 0.5 peratus penggunaan sulfur global akan dikenakan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada Januari 2020, yang mana ia akan menjadikan LNG bahanapi alternatif pilihan bagi industri perkapalan,” katanya.

Keanjalan RGTP dalam operasi pengisian dan keupayaan untuk menerima kapal LNG berskala kecil, meletakkan PETRONAS antara pemain utama dalam segmen pengisian LNG ke dalam kapal dalam berhadapan perubahan landskap pasaran bahanapi marin.

Berita Harian X