Rabu, 31 Oktober 2018 | 10:07am
PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Bajet 2019: ANGKASA mohon modal pusingan RM300 juta

PEKAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASI) memohon kerajaan menyediakan modal pusingan berjumlah RM300 juta pada Bajet 2019, bagi mengembangkan sektor koperasi ke peringkat antarabangsa.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata ia adalah tambahan kepada RM100 juta disalurkan kerajaan kepada sektor koperasi setiap tahun pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI).

Katanya, pihaknya sudah memohon kepada Kementerian Kewangan supaya modal pusingan berkenaan disalurkan menerusi ANGKASA yang menjadi penyelaras bagi memajukan lapan sektor memperkasakan koperasi di negara.

“Lapan sektor untuk dimajukan melalui koperasi itu adalah kewangan dan perbankan, perladangan, pertanian, pembangunan hartanah, pemborongan, inovasi, pelancongan dan kesihatan serta komuniti.

“Sektor koperasi perlu diperkasakan bagi mencapai sasaran perolehan berjumlah RM50 bilion menjelang tahun 2020,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Pahang di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, ANGKASA memerlukan modal pusingan RM300 juta itu untuk gerakan koperasi supaya produk keluarannya boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

“Pada masa sama ia juga bagi menyediakan pelapis koperasi menerusi koperasi sekolah yang setakat ini menunjukkan prestasi baik dan disasarkan mampu mencatat perolehan berjumlah RM450 juta pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya satu koperasi dari negara ini mampu disenaraikan antara 300 koperasi terbaik di dunia yang dipilih oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).

“Sekarang hanya ada satu koperasi disenaraikan iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan kita mahu mencalonkan lima lagi koperasi tersenarai dalam 100 koperasi terbaik di negara pada tahun hadapan berikutan senarai tahun ini sudah dimuktamadkan.

“Kalau dapat masukkan sekurang kurangnya satu pun sudah cukup baik, mungkin Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad yang perolehannya hampir menyamai Bank Rakyat,” katanya.

Berita Harian X