Selasa, 30 Oktober 2018 | 3:36pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (lima kanan), Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Gintell, Datuk Goh Cheh Yak (dua kiri) dan Duta Gintell, Ayda Jebat (empat kiri) pada Majlis Pelancaran Aplikasi digital Rest n Go dan Kerusi Urut layan Diri Digital Gintell. - Foto Rosela Ismail

Gintell rancang perkukuh pasaran ASEAN

KUALA LUMPUR: Syarikat produk penjagaan kesihatan, Gintell (M) Sdn Bhd (Gintell) berhasrat untuk meluaskan pasarannya ke Myanmar dan Indonesia pada tahun depan selepas menerokai pasaran di tujuh negara ASEAN sehingga kini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Goh Cheh Yak berkata rancangan memperluaskan pasaran itu adalah sebahagian daripada pelan lima tahun kumpulan untuk mengukuhkan kedudukannya di rantau Asia Tenggara.

“Jenama kami kini berada hampir di seluruh rantau termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja, di mana ia menyumbang 40 peratus kepada pendapatan keseluruhan kumpulan,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi digital Rest N Go dan kerusi urut digital Gintell di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Presiden Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua; Ketua Pegawai Operasi Gintell, Simon Hue dan Duta Gintell, Ayda Jebat.

Cheh Yak berkata, syarikat yakin mampu untuk mencatatkan peningkatan jualan kira-kira 20 peratus menjelang hujung tahun ini dipacu melalui aktiviti perluasan pasaran di rantau ASEAN.

“Tahun lalu, kami berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM200 juta di mana RM120 juta disumbang melalui jualan runcit manakala selebihnya disumbang melalui segmen Rest N Go.

“Peningkatan jumlah jualan ini juga akan menjadi pemangkin kepada kami untuk meneruskan lagi aktiviti perluasan pasaran di rantau ASEAN sebelum ke pasaran Asia dan Eropah dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Gintell melancarkan aplikasi digital Rest N Go yang membolehkan orang ramai menggunakan kerusi urut di stesen Rest N Go seluruh negara melalui pembayaran tanpa tunai dengan penggunaan sistem dompet elektronik (e-wallet).

Melalui teknologi itu, orang ramai hanya perlu memuat turun aplikasi terbabit dan menggunakan kod QR untuk menikmati kemudahan Rest N Go dengan pembayaran boleh dilakukan melalui kad debit dan kredit, perbankan internet dan aplikasi e-wallet seperti Boost.

Cheh Yak berkata, kumpulan memperuntukkan pelaburan lebih daripada RM2 juta untuk melengkapkan 4,000 kerusi urut di stesen Rest N Go seluruh dengan teknologi pembayaran tanpa tunai terbabit.

“Pada masa ini, kami sudah memasang teknologi pembayaran tanpa tunai ini untuk 4,000 kerusi urut Rest N Go seluruh negara dan akan menambah 2,000 lagi kerusi urut baru yang hanya menggunakan kaedah kod QR selepas ini.

“Dalam masa sama, kami juga akan memasang teknologi baru ini bagi 4,000 lagi kerusi urut Rest N Go di luar negara di mana ia dijangka siap menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Rest N Go adalah stesen kerusi urut layan diri yang terdapat di pelbagai lokasi tumpuan orang ramai dan sehingga kini, kemudahan itu menawarkan 8,000 kerusi urut yang boleh didapati di Malaysia, Singapura, Brunei, Filipina, Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Berita Harian X