Khamis, 25 Oktober 2018 | 2:25pm
Ian Ho [empat dari kiri) bersama Penolong Pengurus e-Commerce Maybelline, Jeryl Tay, [kiri sekali); Ketua Pembangunan Perniagaan Vivo Maxwell Qian, (dua dari kiri), Pengurus e-Commerce L'Oreal, Ashley Woon [tiga dari kiri]; Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah, Ammar Mohd Hishamudin, [kanan sekali] dan Pengarah Operasi Universal Traveller, Eric Poh,[dua dari kanan) ketika pelancaran Shopee 11.11 Big Sale di Kuala Lumpur.

Shopee lancar pesta beli-belah hujung tahun terhebat

KUALA LUMPUR: Shopee, platform e-dagang terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan, menampilkan lebih 100 jenama dan 15,000 penjual dalam festival beli-belah Shopee 11.11 Big Sale bermula hari ini hingga 11 November depan.

Pembeli juga boleh membeli pelbagai barangan pada harga serendah RM1.10 ketika Jualan Kilat Shocking Sale.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata acara itu juga adalah susulan daripada kejayaan luar biasa dalam penganjuran Shopee 9.9 Super Shopping Day bulan lalu.

Beliau berkata, Shopee 11.11 Big Sale menawarkan lebih banyak promosi termasuklah promosi barang tanpa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada jenama terkemuka.

Selain itu, terdapat juga ganjaran syiling Shopee bernilai RM1.1 juta yang boleh dimenangi menerusi permainan dalam aplikasi Shopee Shake yang turut mendapat sambutan.

“Kami juga berkerjasama dengan lebih 50 jenama utama termasuk L’Oreal, Universal Traveller, Siti Khadijah, Vivo, Tefal dan Maybelline.

“Malah, Shopee juga mengambil langkah menyerap kos SST bagi lebih daripada 1,000 produk, membolehkan pengguna menikmati penjimatan apabila membeli belah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ho yang mewakili Shopee memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan enam wakil jenama di majlis pelancaran Shopee 11.11 Big Sale.

Katanya, berdasarkan maklum balas dan permintaan pengguna, Shopee 11.11 Big Sale menekankan komitmen berterusan dalam menyediakan pengalaman beli-belah terbaik kepada pembeli.

“Kami menjemput semua pembeli untuk bersama-sama merebut tawaran hebat di Shopee 11.11 Big Sale,” katanya.

Selain itu, Shopee turut mengukuhkan usaha sama dengan pihak berkepentingan seperti peniaga, rakan jenama serta penyedia perkhidmatan logistik dan pembayaran.

Platform berkenaan juga memfokuskan kepada segmen gaya hidup sekali gus menyaksikan lebih banyak penyertaan dari pemain sektor terbabit.

Antaranya termasuklah Digi, Pizza Hut, MBO Cinemas, Traveloka, FPX dan Standard Chartered.

45 dibaca
Berita Harian X