Selasa, 23 Oktober 2018 | 5:15pm

Media Prima perluas capaian dengan Dailymotion

PETALING JAYA: Media Prima Bhd (Media Prima), mengukuhkan lagi kedudukan sebagai syarikat media digital tempatan terbesar di Malaysia apabila memeterai kerjasama dengan platform video popular dari Perancis, Dailymotion.

Kerjasama ini menyaksikan kandungan video Media Prima akan dimainkan dalam platform yang menjadi tarikan penonton global dengan lebih 300 juta pengguna dan tiga bilion tontonan video bulanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak, berkata pihaknya sentiasa mencari platform yang bersesuaian untuk menyebarkan kandungan digital dengan lebih meluas.

Katanya, perjanjian ini juga sejajar dengan strategi Media Prima untuk mengembangkan capaian digital dan mendemokratikkan kandungan video kepada rangkaian penonton lebih besar di luar Malaysia.

"Kami membuat kajian untuk menambah baik kandungan digital dan platform sedia ada, malah Media Prima kini berada di tempat ketiga dari segi capaian digital di negara ini.

"Media Prima juga bekerjasama dengan platform lain untuk mencapai lebih tontonan dalam talian dan berpeluang mencatat keuntungan bagi kandungan video," katanya pada sidang media di majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Dailymotion di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid dan Naib Presiden Kandungan Asia Pasifik Dailymotion, Antoine Nazaret.

Johan berkata, menerusi kerjasama ini pihaknya menyasarkan peningkatan 10 juta orang yang mendaftar di platform tonton berbanding 8.4 juta pada masa ini.

"Selepas ini lebih banyak saluran boleh diakses di platform Dailymotion dan fasa pertama bakal menampilkan penyiaran penstriman siaran langsung seperti Anugerah Skrin 2018 dan kemudiannya akan dimuatnaik semua video berkualiti tinggi dari rangkaian televisyen Media Prima, Ripple, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dan Media Prima Digital ke dalam platform Dailymotion," katanya.

Sementara itu, Nazaret berkata, pihaknya mengiktiraf Media Prima sebagai salah satu syarikat peneraju media yang berinovasi dan mempelbagaikan portfolionya.

"Kami berharap kerjasama ini akan berterusan dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak sekali gus meluaskan capaian digital di negara ini," katanya.

Dailymotion boleh diakses melalui laman web, peranti mudah alih (iOS, Android) dan peranti 'over the top' termasuk Apple TV, Android TV, Amazon Fire TV dan Xbox One.

Kira-kira 50 peratus pengguna Dailymotion adalah dari negara Asia Pasifik.

JOHAN Ishak (kiri) dan Antoine Nazaret pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di Sri Pentas, Bandar Utama. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X