Isnin, 22 Oktober 2018 | 7:09pm
METER pintar yang memberi data penggunaan setiap setengah jam.
METER pintar yang dipamerkan pada program TNB bersama komuniti peringkat negeri Melaka di Bukit Katil, baru-baru ini. - NSTP/Mohd Hilmie Hussin

Meter pintar tingkatkan kecekapan penggunaan elektrik

DALAM setiap keadaan akan ada orang atau kumpulan yang rela berada dalam ketidaktentuan. Mereka mudah terpengaruh dan ’dimisterikan’ dengan maklumat menyeleweng dan tidak tepat supaya kelihatan berlainan dengan kelompok yang berada dalam pencerahan.

Tidak terkecuali menjadi mangsa ialah dakwaan kononnya ada terlalu banyak kesan negatif daripada penggunaan meter pintar bagi menyukat penggunaan elektrik di rumah.

Antara dakwaan tidak berasas yang kini tersebar di media sosial ialah Frekuensi Radio (RF) yang terdapat pada meter pintar boleh mendatangkan masalah kesihatan dan mencetuskan pendedahan melampau kepada medan elektromagnet (electromagnetic hypersensitivity).

Dakwaan sebegini tersebar tatkala sektor tenaga negara sedang bergerak ke arah pendigitalan bekalan seiring perubahan di peringkat global.

Selepas projek perintis di Melaka dan Putrajaya pada 2014, smart meter atau meter pintar yang mengukur dengan cekap kadar penggunaan elektrik di rumah mendapat sambutan positif pengguna, ia akan diperluaskan ke seluruh negara.

Aspek penggunaan meter pintar turut dibangkitkan pada Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 di Kuala Lumpur, bulan lalu yang mana beberapa syarikat utiliti asing termasuk dari Jepun dan Filipina berkongsi manfaat besar yang diraih daripada penggunaannya.

Di Malaysia, daripada 800 unit meter pintar yang diperkenalkan di Melaka sejak 2014, bilangannya kini sudah meningkat kepada 50,000 dan akan diperluaskan kepada keseluruhan 310,000 pengguna domestik di negeri itu.

Berbalik kepada dakwaan ada kesan bahaya daripada penggunaan meter pintar, hakikatnya kajian mendapati RF terhasil dari meter pintar itu adalah minimum dan secara relatifnya, di paras rendah terutama dibandingkan dengan gajet lain yang kita gunakan seharian seperti telefon pintar, Wi-Fi dan ketuhar gelombang mikro.

Berikut adalah pecahan pelepasan RF :-

•Smart Meter (Jarak tiga meter/10 kaki): 0.1 Mikrowatt per segi sentimeter (cm2)

•Wi-Fi: 20 Mikrowatt cm2

•Telefon Pintar (diletak pada telinga): 10,000 Mikrowatt cm2

Dengan jutaan meter pintar yang sudah dipasang di luar negara, dakwaan berkaitan RF ini tidak berasas. Komponen RF pada meter pintar ini tentunya sudah melalui proses pemeriksaan dan ujian ketat oleh badan-badan berkaitan di banyak negara, termasuk Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tuduhan liar kedua ialah meter pintar ini memungut dan menyimpan maklumat peribadi pengguna. Sebenarnya, meter ini hanya memungut dan menyimpan data penggunaan tenaga, acara berkaitan meter, dan maklumat mengenai kualiti tenaga.

Tiada maklumat peribadi diambil dan disimpan di dalam meter. Tuduhan lain ialah meter ini mengganggu peralatan perubatan seperti perentak jantung (pacemaker). Bagaimanapun, komponen RF pada meter telah diluluskan banyak negara yang memastikan ia mematuhi peraturan khusus dan standard keselamatan yang ditetapkan oleh SKMM.

Satu lagi tuduhan aneh ialah kononnya meter ini mengeluarkan radiasi paras X-ray. Ini sama sekali tidak benar kerana meter ini hanya mengeluarkan radiasi bukan ionizing, sama seperti Wi-Fi dan alat bebas pegang Bluetooth.

Selepas menilai semua fakta mengenai meter pintar, warga Melaka bertuah kerana menjadi trend setter, penerima inovasi awal bukannya dalam kumpulan ‘laggard’.

Penerimaan Melaka terhadap projek meter pintar ada kaitan dengan Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAP) untuk merencana hala tuju sebagai negeri maju.

Pengguna meter pintar bertuah kerana boleh menjejak status kecekapan penggunaan tenaga mereka setiap setengah jam dan dengan itu boleh melakukan penjimatan dengan mengubah tabiat penggunaan yang membazirkan elektrik.

Antaranya, tidak membiarkan televisyen disambung ke elektrik semalaman, walaupun tidak menonton dan memasang pendingin hawa jika perlu sahaja bagi mengurangkan bil elektrik.

Di pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai pembekal tenaga, pemasangan meter pintar itu membantu syarikat untuk memahami tabiat penggunaan elektrik pelanggan dengan lebih baik lagi selain memenuhi keperluan pelanggan.

Penggunaan meter pintar bukan asing di peringkat global apabila Jepun menerusi syarikat utiliti Tokyo Electric Power Company (TEPCO) umpamanya sudah memasangnya di 17 juta kediaman dan akan ditingkatkan kepada 29 juta meter pintar dalam tempoh dua tahun ini.

Negara lain yang turut menggunakan meter pintar termasuk Sweden, Itali, Arab Saudi dan Filipina.

Melihatkan penerimaan meluas sistem meter pintar yang mempunyai kesan meluas membantu pengguna menjimatkan penggunaan tenaga, meter pintar menjadi sebahagian daripada pelaburan besar TNB untuk projek `Grid Masa Hadapan’.

Menerusi projek ini, dijangka hampir sembilan juta pengguna di Semenanjung Malaysia akan dibekalkan dengan set meter pintar menjelang tahun 2021. Maka ketika itu hampir semua pengguna domestik ada wadah dan kaedah untuk mengubah tabiat penggunaan elektrik mereka dengan cekap, sekali gus berjimat.

303 dibaca
Berita Harian X