Rabu, 17 Oktober 2018 | 3:06pm
Pengarah Urusan Kumpulan LKL International Bhd, Lim Kon Lian. - Foto Asyraf Hamzah

Tingkatkan inisiatif penjagaan kesihatan

BANGI: LKL International Bhd (LKL International), pengeluar perkakasan perubatan dan penjagaan kesihatan berharap kerajaan dapat memperkenalkan inisiatif penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Lim Kon Lian, berkata sebagai contoh, nisbah keperluan katil di hospital di Malaysia adalah 1.9 katil bagi setiap 1,000 pesakit, angka lebih rendah LKL International Bhd (LKL International), pengeluar perkakasan perubatan dan penjagaan kesihatan berharap kerajaan dapat memperkenalkan inisiatif penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Lim Kon Lian, berkata sebagai contoh, nisbah keperluan katil di hospital di Malaysia adalah 1.9 katil bagi setiap 1,000 pesakit, lebih rendah berbanding nisbah standard global iaitu 2.5 katil bagi 1,000 pesakit.

“Kami berharap kerajaan menerusi Bajet 2019 dapat mengumumkan inisiatif penting dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan.Ketika ini terdapat jurang besar dalam nisbah katil hospital dan populasi Malaysia. Perkara ini perlu dipertimbangkan kerajaan, bagi meningkatkan akses lebih baik rakyat kepada hospital kerajaan, mahupun swasta.

“Isu kekurangan perkakasan termasuk katil ini akan menjadi lebih buruk, memandangkan kajian mendapati 20 peratus daripada jumlah populasi Malaysia akan mencecah umur lebih 60 tahun menjelang tahun 2050,” katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan ke-4 LKL International, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Lian berkata, LKL International memberikan saranan supaya kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana untuk meningkatkan penyumberan bagi kemudahan penjagaan kesihatan, selain inisiatif lain untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor swasta.

“Kami mengharapkan lebih banyak hospital kerajaan dan swasta dapat dibangunkan pada masa depan,” katanya.

Mengenai LKL International, beliau berkata, syarikat memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM6.7 juta untuk meningkatkan keupayaan kilang pengeluarannya di Seri Kembangan kepada 129,140 kaki persegi daripada 91,740 kaki persegi ketika ini.

“Peluasan kemudahan pengeluaran kami yang memiliki struktur empat tingkat ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2021. Ruang tambahan ini akan meningkatkan keupayaan operasi dan ruang penyimpanan inventori.

“Kami juga bercadang mengeluarkan rangkaian produk perubatan baharu untuk meningkatkan akses pelanggan domestik dan luar negara,” katanya.

LKL International yang mengeluarkan peralatan dan peranti hospital serta penjagaan kesihatan turut menghasilkan kira-kira 6,000 unit katil hospital setahun.

Selain pasaran domestik, syarikat itu turut mengeksport produknya ke 30 negara termasuk Eropah, Asia Tenggara, Bangladesh, Sri Lanka, Singapura dan Thailand.

Ketika ini, nisbah pendapatan kumpulan disumbangkan 68.5 peratus oleh pasaran domestik, manakala bakinya 31.5 peratus pasaran eksport.

Berita Harian X