Isnin, 8 Oktober 2018 | 7:27pm
DR Hatta (tengah) bersama Abdul Fattah (dua dari kiri) dan Johan (dua dari kanan) menyaksikan pemeteraian MoU antara Galoreka Sdn Bhd (Galoreka) dan Sterling Red (Sterling Red) Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Media Prima lancar program usahawan #JOMMASUKTV

PETALING JAYA: Media Prima Bhd (Media Prima) menerusi Sistem Televisyen Malaysia Bhd (STMB) melancarkan program Usahawan #JOMMASUKTV dalam usaha untuk merancakkan pembangunan sektor koperasi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Johan Ishak berkata, program itu bertujuan untuk menggalakkan koperasi bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka menerusi platform televisyen.

Melalui inisiatif itu, jelas beliau, ia akan memperluaskan pasaran mereka dan seterusnya menambah pendapatan selain menjadikan sektor koperasi sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Apabila usahawan koperasi menyertai program ini, ia memberikan peluang kepada mereka untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang dilakukan dalam rangkaian televisyen Media Prima merangkumi TV3, NTV7, TV9 dan 8TV.

“Program ini menawarkan pakej menarik dengan kos yang begitu berpatutan selain peluang pembabitan dalam Karnival Jom Heboh dan Anggun Life,” katanya pada sidang media majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Galoreka Sdn Bhd (Galoreka) dan Sterling Red (Sterling Red) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Hatta Ramli dan Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Bhd (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Menerusi MoU itu, Galoreka akan bekerjasama dengan Sterling Red iaitu rakan strategik kepada ANGKASA dan STMB dalam menggalakkan koperasi untuk mengambil peluang bagi mempromosikan perniagaan mereka di kaca televisyen.

Johan berkata, menerusi platform media berkenaan, ia memberikan usahawan koperasi menarik lebih banyak permintaan dari kalangan pengguna seluruh negara.

“Kami yakin inisiatif ini dapat membantu usahawan koperasi meneroka segmen pemasaran dan penjenamaan yang lebih meluas sekali gus meningkatkan jualan masing-masing,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, dengan menyertai program itu juga, ia memberi jaminan terhadap jaminan jenama seterusnya memacu perkembangan perniagaan secara proaktif dan bersepadu.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, dengan pertumbuhan yang sihat dalam sektor koperasi, pihaknya yakin usaha Media Prima ini adalah tepat pada masanya dengan mengambil kira keadaan semasa.

“Malaysia mempunyai kira-kira 14,000 koperasi yang mana ia diwakili oleh enam juta ahli. Ia sudah tentu akan memberi manfaat kepada Media Prima dan pada masa sama, koperasi juga dapat memperkukuh kedudukan dalam segmen perniagaan yang dijalankan,” katanya.

58 dibaca
Berita Harian X